nav-left cat-right
cat-right

KISAH PARA SAHABAT YANG MENDAPAT ILMU RASA

Sayidina Abu Bakar berkata: Terdapat lapan perkara yang menjadi perhiasan kepada lapan perkara: Menjaga perkara yang haram, perhiasan kepada fakir. Syukur perhiasan kepada nikmat Sabar perhiasan kepada bala. Tawaduk perhiasan kepada kemuliaan. Berlemah lembut perhiasan kepada ilmu. Merendah diri perhiasan kepada orang yang bercakap. Meninggalkan riyak perhiasan kepada kebaikan. Khusyuk perhiasan kepada sembahyang.

Rahsia kejayaan Rasulullah SAW, Khulafa-ur-Rasyidin dan salafussoleh dapat memerintah dan menawan tiga suku dunia dengan jayanya adalah kerana mereka cintakan Allah lebih daripada cintakan dunia. Juga kerana mereka memberi tumpuan yang serius kepada Akhirat dengan membersihkan hati mereka. Mereka mampu menundukkan nafsu, lalu dunia jatuh terjelapak ke tangan mereka.

Kalaulah mereka tidak mengutamakan sifat-sifat terpuji (mahmudah) lebih daripada sifat-sifat terkeji (mazmumah) tentulah mereka senasib dengan kita. Yakni bukan saja tidak dapat menegakkan empayar, hendak memerintah satu negara pun tidak akan berjaya. Memerintah satu negeri pun akan gagal. Bahkan memerintah satu kampung pun akan timbul pecah belah. Bahkan gagal untuk menawan walau satu hati pun.

Kalau masalah dalam diri tidak dapat diatasi, tidak selesai-selesai, apa logiknya untuk tawan hati orang lain? Lebih-lebih lagi apa logiknya untuk tawan hati manusia dalam satu empayar? Bukankah ?trah hati itu akan jatuh hati hanya dengan orang yang mempunyai akhlak terpuji? Sekali lagi diulang, berjayanya Rasulullah SAW dan para Sahabat serta salafussoleh mengislamkan dunia adalah kerana mereka serius membersihkan hati mereka yang asalnya dari alam jahiliah kecuali Rasulullah SAW yang sememangnya bersih dan tidak berdosa (maksum). Memang sebahagian mereka pernah melakukan bermacam-macam dosa tetapi kerana seriusnya mereka dalam membersihkan hati daripada sifat terkeji melalui mujahadatunnafsi, riadatunnafsi, dengan disiplin serta barakah pimpinan Rasulullah SAW, maka mereka diberi Allah sifat-sifat hati yang bersih seperti yang disebutkan dalam tajuk-tajuk yang lepas.

Contohnya rasa kasih sayang, berkorban apa sahaja, cintakan kebenaran, cintakan Allah, takut, harap, tawakal pada Allah, rasa gerun dan hebat pada Allah, merasa diri hamba, merendah diri dan malu dengan Allah, pemaaf, suka meminta maaf, takut dan gerun dengan Neraka-Nya, cinta dan mabuk dengan Syurga-Nya dan lain-lain sifat mahmudah lagi. Bahkan hidup mati mereka diserahkan kepada Allah. Hati mereka sedikit pun tidak terpaut dengan dunia. Sedangkan di waktu yang sama, mereka mengurus dan mentadbir serta memerintah tiga perempat dunia.

Hakikat yang berlaku ialah bila mereka cintakan Allah dan cintakan Akhirat, di waktu itulah mereka mengorbankan hidup dan mati mereka untuk Allah. Seperti orang bercinta, dia sanggup beri apa saja demi menunaikan hajat cintanya. Begitulah hati mereka dengan Allah.

Hati, jantung, kaki, tangan serta seluruh anggota mereka gementar bila disebut nama Allah dan bila mendengar ayat-ayat-Nya. Mereka sangat cinta, rindu dan kasih kepada Rasul-Nya. Sesama mereka sangat berkasih sayang, bertolong bantu, bertolak ansur, berkorban apa saja, pentingkan orang lain, tenang dan damai serta hidup aman makmur. Dengan kehidupan yang beginilah mereka dapat tegakkan masyarakat yang baik selama 300 tahun. Itulah yang dikatakan masyarakat salafussoleh sepertimana yang Allah kehendaki.

Firman-Nya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.” (Saba’: 15)

Bilamana umat Islam sudah tidak mengikut kaedah ini lagi, yakni selepas umat Islam tidak mengamalkan Islam melalui proses pembersihan hati daripada sifat mazmumah, empayar Islam telah jatuh ke tangan musuh-musuhnya. Bila musuh datang, bukan musuh yang diperangi, tetapi sebaliknya yang berlaku. Kawan dianggap musuh maka mereka bermusuh sesama sendiri. Hati penuh dengan cinta dunia, hasad dengki, sombong, bakhil, penakut, pemalas, pemarah, gila pangkat, gila nama dan bermacam-macam gila lagi. Di waktu itu, dunia yang sudah ada di tangan, terlepas semula.

Tanpa proses pembersihan hati, negara dan masyarakat akan dikuasai oleh orang jahat kerana rakyatnya telah jahat. Rakyat akan hidup susah dan menderita. Sedangkan orang yang punya kuasa, hidup senang-lenang dan mewah serta berlumba-lumba membina empayar masing-masing. Hal ini kita boleh lihat dalam realiti hidup kita. Di mana negara yang umat Islamnya ramai, ekonomi negara dan masyarakat dikuasai oleh orang yang bukan Islam. Hidup masyarakat berkasta-kasta di mana yang kaya terlalu kaya dan yang miskin terlalu miskin. Hidup nafsi-nafsi, pecah amanah dan rasuah. Penipuan, pergaduhan, pencurian, demonstrasi, pembunuhan sering berlaku dan dunia seluruhnya tidak aman lagi.

Sebab itu Islam meminta agar umatnya membersihkan hati daripada sifat mazmumah dan menanam sifat-sifat mahmudah. Kerana dengan kaedah ini saja hati-hati manusia akan dapat ditawan. Dunia akan selamat dan aman makmur. Hati cinta dengan Allah tapi dunia dalam tangan. Hati rindu dengan Allah tapi dunia dapat ditadbir dan diuruskan. Kaki berpijak di bumi, mengurus ekonomi, pertanian, perubatan, khidmat masyarakat, berdakwah dan mengajar, berhubung dan mesra dengan manusia tetapi hati dengan Allah.

Kesan dari mujahadah yang sungguh-sungguh untuk membersihkan hati, maka lahirlah buah dalam kehidupan masyarakat. Apabila salafussoleh ini memerintah dan mentadbir dunia, oleh kerana terlalu takutnya dengan Allah yakni takut ditanya tentang pentadbiran dan rakyatnya, dia tidak sempat memikirkan keperluan dirinya sendiri. Tidurnya hanya satu pertiga malam. Sembahyangnya terlalu banyak. Kalau mereka berniaga, di waktu tidak ada pelanggan, mereka akan terus bersembahyang, membaca Quran atau berzikir. Ada di antaranya tidak sempat mandi junub kerana mendengar panggilan jihad (gendang perang) lantas menyahut seruannya. Mereka menangis kalau tidak dapat ikut serta dalam perang. Mereka menangis dan pengsan bila mendengar ayat-ayat Allah. Sanggup berpisah dengan suami atau isteri sampai berpuluh-puluh tahun kerana berdakwah atau berjihad. Sanggup hidup ala kadar kerana Islam. Sanggup hidup mati untuk Allah dan Rasul-Nya.

Malangnya melalui sistem pengajian Islam yang sudah disekularkan, ilmu tasawuf atau ilmu rasa (zauq) ini sudah ditolak atau sudah tidak diambil berat lagi. Bahkan dianggap mengarut dan sesat serta menyesatkan. Kalau diajar pun ajaran tasawuf, hanya di mulut atau seronok menyebut istilah-istilahnya sahaja. Tetapi intipati ajaran tasawuf tidak bertapak di hati. Sebab itu orang yang belajar tasawuf, ilmunya itu tidak dapat mengubah sikap dan peribadi mereka.

Oleh itu mari kita ?kirkan secara serius tentang ilmu tasawuf atau ilmu rohani atau ilmu rasa (zauq) ini supaya jiwa kita yang sudah buta dan mati ini dapat dicelikkan kembali serta hidup dan berfungsi. Agar ia dapat menjadi power kepada kebangkitan Islam di akhir zaman. Kalau dulu dunia dapat ditawan, maka kali ini sejarah itu akan berulang sekali lagi di tangan-tangan kita.

Pengalaman atau kesan daripada mereka yang mendapat ilmu rasa (zauq):

1. Sembahyang sunatnya banyak

Rasulullah SAW adalah manusia biasa tetapi kemampuan baginda untuk sembahyang banyak dan berlama-lama adalah perkara luar biasa. Ianya tidak termampu dilakukan oleh manusia biasa. Sembahyangnya sampai beratus-ratus rakaat sehari semalam. Dalam pada itu, baginda tetap mentadbir dunia, tetap berhubung dangan Sahabat-Sahabat dan masyarakat. Bagaimana hal ini boleh berlaku serentak? Ini tentulah tidak terbuat oleh manusia biasa. Tentu ada yang akan berkata, “Yalah dia tu nabi, tentulah boleh buat begitu!”

Baginda berbuat itu bukanlah kerana baginda itu nabi. Baginda berbuat kerana merasa dirinya adalah hamba Allah. Walaupun Allah sudah jamin Syurga tetapi baginda tetap berbuat bukan kerana hendakkan Syurga. Sebaliknya kerana dia adalah hamba. Jadi baginda tetap berbuat walau tidak diminta atau diarahkan.

Buktinya Sayidatina Aisyah r.a. isteri kesayangan pernah menegur baginda: “Kenapa engkau sembahyang sampai bengkak-bengkak kaki, ya Rasulullah! Sedangkan Allah mengampuni dosa-dosamu yang lalu dan yang kemudian.”

Baginda menjawab: “Tidakkah layak aku menjadi seorang hamba yang mengenang budi (yang bersyukur).”

Baginda dapat berlama-lama sembahyang sunat dan banyak pula sampai bengkak-bengkak kakinya dan pernah terjatuh. Rehatnya ialah dalam sembahyang. Di waktu itulah dia terasa benar-benar dapat bercakap dengan Allah, terasa amat dekat dengan-Nya, dapat bermanja, merintih, rindu yang amat sangat, merasa terlalu lazat dapat berdialog, mengadu, menyerahkan diri, menceritakan segala hal dan terasa Allah menjawab cakapcakapnya itu. Terasa satu kepuasan dan nikmat hingga tenggelam dalam kerinduan cintanya. Itu sebabnya baginda terlalu lama sembahyang sehingga tanpa disedari kaki baginda jadi bengkak dan badan terkulai, langsung jatuh.

Ertinya, kerana dia terlalu asyik sampai terlupa yang ?zikalnya sudah tidak mampu lagi menanggungnya walaupun rohnya kuat. Jadi kalau bukanlah kerana terlalu lazat dalam sembahyang sudah tentu Rasulullah SAW juga tidak mampu berlama-lama dalam sembahyang baginda. Dalam pada itu baginda juga tetap sempat memikirkan pentadbiran dunia dan rakyatnya. Dunia yang ada di tangan, semuanya digunakan untuk agama Allah.

Salah seorang Sahabat Rasulullah SAW, Huzaifah r.a. pernah meriwayatkan tentang lamanya sembahyang baginda. Abu Abdullah (Huzaifah) bin Al Yaman r.a. berkata, “Saya bersembahyang di belakang Rasululah SAW pada suatu malam. Dan setelah membaca Al Fatehah baginda membaca surah Al Baqarah. Mulanya saya menduga akan rukuk pada ayat keseratus, mendadak terus dibacanya. Dalam perasaanku mungkin akan dibacanya satu surah dalam satu rakaat, mendadak setelah selesai terus memulai membaca surah An Nisaa’ sehingga selesai dan mulai surah Ali Imran. Maka dibacanya dengan tartil, tiap ada ayat tasbih, baginda membaca tasbih, dan bila ada ayat ta’awwiz, dia berlindung kepada Allah daripada bahaya. Kemudian dari itu semua baru rukuk sambil membaca ‘Subhana rabbiyal ‘azimi wabihamdih’. Dan rukuknya hampir sepanjang berdirinya. Kemudian bangun membaca ‘Sami’ Allahu liman hamidah, Rabbana lakalhamdu’. Dan lama berdiri sama dengan rukuknya. Kemudian bersujud sama dengan berdirinya.” (Riwayat Muslim)

Begitu juga dengan Sahabat-Sahabat yang lain. Sembahyang mereka juga banyak, ratusan rakaat dan lama. Paling sedikit di kalangan mereka ialah seratus rakaat.

2. Hati Terbakar

Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a. yang terlahir dari rasa hatinya yang pecah-pecah dengan Allah, rindu dan dendamnya akhirnya hatinya terbakar hangus dan bau hangitnya terkeluar. Baunya tercium oleh para Sahabat yang lain.

3. Hati dan Jantung yang Gementar

Hati-hati salafussoleh ini semuanya gementar kerana takutkan Allah sepertimana disebut di dalam Al Quran. Contohnya berlaku pada Sayidina Umar Al Khattab r.a. kerana hatinya terlalu takut dan gerun dengan Allah serta rasa kehebatannya, setiap masa getaran hati dan jantungnya dapat didengar daripada jarak tiga saf sembahyang.

Sayidina Umar juga terkenal dalam sejarah sebagai seorang yang suka menghisab dirinya sendiri kerana mengenangkan dosanya. Dia menangis teresak-esak dan kadang-kadang ketawa kerana mengenangkan kebodohannya sewaktu di alam jahiliah. Di malam-malam hari, dia selalu memukul-mukul badannya sambil berkata: “Inilah Umar yang banyak dosa. Biarlah Umar rasa sakit di dunia asalkan jangan diseksa di Neraka.”

Sedih dan menyayat hati bila mengenangkan kisah-kisah bagaimana Sahabat-Sahabat membersihkan diri mereka dari dosa-dosa. Sedangkan mereka sudah dijamin Syurga oleh Rasulullah SAW.

4. Dapat Menahan Sakit

Semasa berperang dengan orang ka?r musyrik, Sayidina Ali r.a. terkena panah di belakangnya. Ada sesetengah riwayat menyatakan di betisnya. Sahabat-Sahabat telah mencabut anak panah tersebut sewaktu Sayidina Ali sedang sembahyang kerana Sahabat-Sahabat sedar di waktu itu saja tidak menyakiti Sayidina Ali disebabkan dia tenggelam dalam lazatnya sembahyang.

Kelazatan itu telah dapat mengalahkan kesakitan apabila panah itu dicabut. Ertinya, kalaulah bukan kerana hatinya terasa kehebatan dan kebesaran Allah, terasa terlalu hina dan rasa lazat yang amat sangat sewaktu bermunajat dengan Tuhannya, tentu mustahil dia tidak sedar panah itu dicabut. Bukankah pelik. Ertinya segala kesakitan-kesakitan di dunia akan hilang atau tidak terasa kalau kita tenggelam dalam cinta Allah.

Ibarat orang yang sedang bercinta. Apabila bertemu dengan cintanya, masa yang lama dirasakan sekejap sahaja. Dua jam dirasakan dua puluh minit sahaja kerana terlalu asyik.

Banyak lagi cerita Sahabat-Sahabat lain yang turut sama dipanah, ditikam dan ditetak tetapi tetap teruskan berperang sehingga terbunuh (syahid). Sahabat yang bernama Anas bin An Nadhri ketika selesai perang didapati lebih 80 kesan tikaman pedang, tombak, panah dan dicincang-cincang oleh kaum musyrikin. Begitu juga Sahabat-Sahabat yang lain. Dorongan cinta Allah inilah yang membolehkan mereka berbuat begitu. Ada di kalangan mereka sewaktu sedang berperang itu, mereka ternampak bayangan Syurga dan bidadari-bidadarinya. Sampai terlupa kesakitan yang mereka hadapi dan sangat rindu dengan Tuhannya. Sebab itu mereka sanggup syahid waktu itu juga untuk menemui cintanya.

5. Menangis kerana Takutkan Allah SWT

Allah SWT telah menceritakan perihal salafussoleh ini. FirmanNya: “Dan sujudlah mereka sambil menangis dan bertambah khusyuk.” (Israk:109)

[pullquote]Dalam sebuah Hadis disebutkan: Anas r.a berkata bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW berkhutbah, belum pernah dia mendengar khutbah seperti itu. Lalu baginda bersabda dalam khutbahnya itu: “Andainya kamu mengetahui sebagaimana yang kuketahui, nescaya sedikit tertawa dan banyak menangis.” Anas berkata: “Seketika itu para Sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)[/pullquote]

Hadis yang lain pula mengatakan: Abdullah Syeikhir r.a. berkata: “Saya datang kepada Nabi SAW sedang baginda sembahyang, maka terdengar nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih dalam bejananya.” (Riwayat Abu Daud dan At Tarmizi)

6. Membaca Al Quran

Ada di kalangan Sahabat-Sahabat dan salafussoleh, bila membaca Al Quran sama ada dalam sembahyang atau di luar sembahyang, bila sampai tentang ayat azab atau ayat tentang kebesaran Allah, ada yang jatuh pengsan dan terus mati. Sensitifnya dengan ayat-ayat Allah bagaikan terkena gencatan elektrik, terus mati.

Kalaulah bukan kerana kehebatan rasa dalam hati tidak begitu menekan sangat maka tidak mungkin dia jatuh pengsan. Ada sesetengah salafussoleh bila mendengar tentang ayat azab Neraka, ada yang tidak lalu makan berhari-hari. Kalaulah bukan kerana rasa hati yang begitu hebat tentang azab di Akhirat tentulah tidak sampai terjadi demikian. Sebab itulah sebahagian salafussoleh membaca Al Quran, oleh kerana terlalu lazat dan asyik, mereka boleh menghabiskan tiga puluh juz dalam waktu satu malam sahaja. Begitu juga wirid, zikir dan sedekah, terlalu banyak.

7. Kahwin

Sesetengah mereka ini kerana rasa hati terlalu takut dengan Allah hingga tidak ada mood untuk mengadakan perhubungan dengan isteri lagi. Hingga Rasulullah terpaksa menegur perbuatan mereka ini. Begitu juga telah diakui sendiri oleh isteri Sayidina Umar Abdul Aziz selepas diberi tanggungjawab berat memikul urusan negara (khalifah), dua tahun mereka tidak mandi junub.

Ertinya begitulah takutnya Sayidina Umar Abdul Aziz kepada Allah, takut akan ditanya tentang urusan dunia dan pentadbirannya dan takut ianya akan diazab. Dan matinya pun setelah mendengar cerita mimpi khadamnya yang menceritakan bagaimana para pemerintah Bani Umaiyah sebelumnya semuanya terjun ke Neraka. Belum sempat khadamnya menceritakan tentang nasibnya, dia sudah jatuh pengsan dan terus mati.

8. Syattah (melatah) dan Sakar (mabuk)

Ada di kalangan Sahabat-Sahabat yang membuat pengakuan, kalau aku ceritakan apa yang terasa di hatiku ini, akan ada orang yang akan menyesatkanku dan akan membunuhku. Setengahsetengah ahli su? zaman dahulu kerana mabuk cintanya sangat mendalam kepada Allah hingga berlakunya syattah atau melatah. Iaitu mengeluarkan kata-kata di mulut yang tidak dapat dikawal (control). Sewaktu-waktunya atau kadangkala tidak dapat difahami oleh orang yang mendengarnya. Kalau dilihat secara lahir, ia tidak dapat ditakwil dengan mudah agar sesuai pengertiannya mengikut kedudukan syariat. Kesannya, ada yang menuduhnya ka?r atau syirik. Ini yang berlaku kepada Ibnu Arabi dan Al Hallaj, hingga mereka dibunuh orang.

Sebenarnya apa yang terjadi ialah bahasa hatinya tidak dapat diterjemah oleh bahasa lidah. Maka terkeluarlah bahasa lidah yang tidak mampu menterjemahkan bahasa hatinya. Maka bagi orang yang tidak memahami soal-soal rasa ini dan juga tidak dapat mentakwilnya maka jadi ?tnah padanya, langsung disesatkan orang yang hampir dengan Allah itu.

Juga pernah berlaku pada orang-orang su? yang mabuk cintanya dengan Allah yang tidak dapat dikawal hingga ada yang sakar (mabuk). Iaitu seolah-olah macam orang gila seperti berlaku pada Uwais Al Qarni dan lain-lain lagi. Boleh juga terjadi pada satu keadaan lain, mereka ini bila cuba melahirkan bahasa cinta mereka kepada Allah, akan terkeluarlah bahasa-bahasa yang indah-indah dan sastera yang mendalam melalui syair dan sajak-sajak yang memuja dan memuji Allah atau Rasul. Contohnya berlaku pada Rabiatul Adawiyah dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, kesan daripada ilmu rasa (zauq) inilah dapat melahirkan sifat-sifat mukmin yang sejati. Rasa hati telah membentuk sikap manusia yang lahir di tengah-tengah kehidupan salafussoleh. Yakni orang mukmin itu pada lahirnya saja bersama-sama manusia tetapi hatinya bersama Allah. Badan lahirnya sibuk mentadbir dunia tetapi hatinya sibuk dengan Allah. Jasadnya sibuk berhubung dengan manusia tetapi hatinya remuk dan pecah-pecah dengan Allah.

Mereka ini nampak senyum wajah lahirnya tetapi hatinya berduka dengan Allah, cemas, harap, bergantung dan bertawakal dengan Allah. Kaki mereka berpijak di bumi tetapi hati dan perasaannya mengembara ke alam yang lebih tinggi. Kakinya di dunia tetapi perasaan di Akhirat. Jasad lahirnya bersama dunia tetapi hati tidak terpikat dengan dunia kerana hatinya bersama Allah. Badan lahirnya mengembara di bumi Tuhan tetapi rohnya mengembara di alam rohani. Mulutnya bercakap dengan manusia tetapi hatinya tidak lepas berhubung dengan Allah. Matanya memandang dunia tetapi hatinya gerun dengan Neraka-Nya. Telinganya mendengar percakapan manusia tetapi hatinya mendengar apa kata Allah.

Ini menjadikan mereka walaupun berpijak di bumi, mengu-ruskan pentadbiran dunia tetapi hati mereka gementar takut kepada Allah yang mengawasi, melihat dan mendengar apa yang dilakukan. Akhirnya terkeluar daripada mulutnya, dia bercakap-cakap seorang diri seolah-olah berbisik-bisik dengan Allah, Tuhannya itu. Kadang-kadang payah untuk diceritakan dengan bahasa lidah.

Gambaran ini hanya sedikit yang dapat dicoretkan daripada pengalaman-pengalaman mereka yang begitu banyak dalam sejarah. Bahasa tulisan lagilah tidak mampu untuk menterjemahkan bahasa lidah dan bahasa hati yang unik itu. Ini semua tentulah dianggap mengarut oleh orang-orang yang menolak ilmu tasawuf atau ilmu rasa (zauq) ini. Apatah lagi bagi mereka yang mengambil ilmu Islam daripada lidah orang-orang ka?r (musuh Islam). Tentulah orang ka?r (musuh) tidak akan ajar ilmu-ilmu ini kerana mereka tidak faham terutamanya mereka yang mengambil ilmu Islam di London, di Scotland, Temple University di Amerika Syarikat, Universiti Kent di Britain, di Jerman, di Perancis dan lain-lain tempat lagi. Ini semuanya pada mereka mengarut, sesat lagi menyesatkan.

Kenapa terjadi begitu? Apa logiknya mereka tuduh sesat? ini kerana mereka mengukur orang lain dengan ukuran diri mereka. Hal-hal rasa ini sudah tidak dicampakkan ke dalam hati mereka kerana hati sudah dipenuhi dengan cinta dunia. Lihatlah kehidupan mereka dan perbualan mereka. Yang jadi perbualan harian ialah hal-hal gaji, elaun, mileage, kenaikan pangkat, halhal yang menambahkan harta dan membesarkan rumah dan lain-lain lagi. Masakan Allah beri ilmu rasa ini!

Jasa Khulafaur Rasyidin kepada Dunia

Khulafaur Rasyidin pemerintah yang adil
tidak ada tandingannya selepas Rasulullah
Mereka Sahabat besar Rasulullah
sangat berjasa pada dunia Islam dan menempa sejarah
Jasa mereka sentiasa dikenang di sepanjang zaman oleh umat
Dunia jatuh tersungkur di pangkuan mereka
namun hati mereka tidak jatuh cinta kepadanya
Mereka tetap zuhud mencintai Allah,
mencintai Rasulullah mencintai Akhirat
Dunia Islam dibuka oleh mereka
dengan tenaga, harta dan jiwa raga

Mereka telah menjual dunia untuk Akhiratnya
demi keredhaan Allah, Tuhannya
Di malam hari bersama Tuhannya
menangis dan mengaku lemah munajat serta mengaku bersalah
Siang sibuk mengurus rakyatnya
Jasa merekalah menjadi sebab Islam berkembang seluruh dunia
kita telah menerimanya bersama
Sebab merekalah kita semua beragama Islam
Rahmat dan nikmat paling besar dari Allah
Mereka itu adalah kekasih Rasulullah
automatik menjadi kekasih-kekasih Allah
Siapa mengasihi mereka Allah Taala mengasihi mereka pula
Mereka adalah lampu-lampu penduduk di langit
Lampu dan cahaya bagi penduduk bumi
Rakyat di zaman mereka mencintai mereka
mereka pula mencintai rakyatnya rakyat menjadi setia

Di zaman mereka rahmat dan berkat dari Tuhan
mencurah-curah bak cahaya bulan di waktu malam yang cerah
Negara aman makmur, berkasih sayang bahagia dan harmoni
Jenayah terlalu sedikit rakyat sangat patuh dengan Allah
Pemerintah dan rakyat memiliki Allah
dunia yang mereka miliki tidak mempesona mereka
Dunia merindui hidup seperti di zaman mereka
Ketakutan, kebimbangan, curiga-mencurigai tidak ada

Hidup macam satu keluarga, satu ibu dan bapa
Berjalan ke mana-mana walaupun seorang diri
tidak ada siapa yang mengganggunya
Setiap musafir tidak membawa bekalan pun di dalam musafirnya
setiap rumah ingin menjadikan mereka tetamunya
Kedatangan tetamu macam kedatangan keluarganya

Kehidupan Para Sahabat Rasulullah

Sahabat-Sahabat Rasulullah apabila bertemu satu sama lain
Tidak akan bercerita tentang dunia
Mereka tidak akan bercakap tentang makan minum rumah dan pakaian
Kecuali menceritakan terhadap Sahabatnya yang lain jika mereka mendapat kesusahan
Agar Sahabat-Sahabat bersimpati dan memberi bantuan
Pertemuan para Sahabat di antara satu sama lain akan bertanya kecacatan diri
Untuk diketahui dan dibaiki
Bertanyakan khabar Rasulullah keluarganya dan tentang keadaannya
Lebih-lebih lagi bertanya apa wahyu yang baru turun
Apakah sabdanya yang baru diterima darinya
Beritakanlah, kita boleh kongsi bersama

Para Sahabat bertemu, berbincang-bincang
apa lagi kebaikan yang hendak dibuat
Kalau tidak ada yang perlu untuk dibualkan masing-masing diam sahaja
Namun hal-hal dunia tidak dijadikan perbincangan dan perbualan
Apatah lagi hendak bercerita-cerita hal keburukan orang
Mereka kalau ramai berada di dalam masjid
Orang yang lalu di tepi masjid menyangka tidak ada orang di dalam masjid
Kerana sunyi sepi daripada perbualan
Kalau adapun Al Quran dibaca orang Sahabat tidak menguatkan suara
Agar tidak mengganggu orang macam masjid di zaman kita

Mereka di dalam masjid sangat tawadhuk tadharuk dan khusyuk
Membanyakkan sembahyang zikir, tasbih, selawat Membaca Al Quran, tafakur
tidak sempat berbual dunia
Masing-masing dengan dirinya masing-masing
Hening, tenang dan sepi
Orang menyangka di masjid tidak ada orang Mereka sangat menjaga
kehormatan masjid dan kesuciannya

Para Sahabat Adalah Ulama

Para Sahabat sama ada Sahabat besar mahupun Sahabat kecil mereka itu adalah ulama,
Mereka itu jolokan Sahabat lebih popular dan terkenal daripada jolokan ulama
Ilmu mereka adalah dari Al Quran dan Sunnah Nabi
Mereka itu tidak belajar melainkan hanya semata-mata dengan Nabi
Para Sahabat adalah ibarat bintang dilangit dan mana satu diikut kita akan dapat petunjuk
Mereka semuanya adalah murid-murid Nabi dan pengikut-pengikut yang setia
Pengembang Islam generasi pertama yang sangat berjaya
Selepas Nabi wafat mereka bertebaran di merata dunia

3/4 para Sahabat wafat diluar Mekah dan Madinah
Berkat perjuangan mereka Islam berkembang di seluruh dunia
Luar biasa Rasulullah murid-muridnya semuanya jadi ulama
Perkataan Sahabat lebih menonjol dari perkataan ulama kerana mereka bertemu Nabi
Sungguh berjasa mereka kepada dunia Islam yang tidak ada tandingnya
Di akhir zaman watak Sahabat akan lahir semula
Membangunkan Islam diseluruh dunia
Tapi mereka diberi gelaran Ikhwan dan Asoib yang dicintai oleh Rasul
Para-para Sahabat irihati kalau boleh hendak hidup sezaman dengannya
Dengan tenaga merekalah Islam bangun dan berdaulat kali kedua

Umat Islam yang peka memang menunggu-nunggu dengan gembira
Kecuali yang hasad dengki tidak senang dengan berita
Rupa-rupanya orang munafik di kalangan yang mengaku Islam di masa bila pun ada

Print Friendly
You might also likeclose