nav-left cat-right
cat-right

Jodoh buat Julaibib

Pada zaman Rasulullah SAW terdapat seorang pemuda Ansar yang kurang menarik raut wajahnya dan tubuhnya agak pendek sedikit. Pemuda yang bernama Julaibib ini, sedang berusaha untuk mencari seorang perempuan yang sesuai untuk dijadikan isterinya tetapi malangnya tidak ada seorang pun yang sudi untuk bermenantu atau bersuamikan Julaibib.

Maka pergilah Julaibib bertemu Rasulullah SAW untuk mengadukan masalahnya itu. Apabila diketahui oleh Rasulullah SAW akan masalah Julaibib, lantas baginda sendiri berusaha mencarikan jodoh buat Julaibib. Maka bertemulah Rasulullah SAW dengan salah seorang sahabatnya dan menyatakan hajatnya,” Wahai fulan, engkau kahwinkanlah aku dengan anak gadismu.” ” Baiklah, aku terima dengan senang hati,” jawab sahabat tersebut. ” Tetapi pinangan ini bukan untuk aku,” kata Rasulullah selanjutnya. “Untuk siapa?”. Pada mulanya dia sangka Rasulullah SAW ingin meminang anaknya untuk dirinya sendiri. ” Untuk Julaibib,” jawab Rasulullah SAW. ” Wahai Rasulullah, kalau begitu berilah aku tempoh agar dapat aku bermusyawarah bersama ibunya dahulu.”

Dia pun segera pulang ke rumahnya. Di dalam hatinya timbul pertanyaan bagaimanakah nanti kalau isterinya menolak hajat Rasulullah. Jika menolak pinangan Rasulullah tentulah tidak baik bagi orang Mukmin. Tetapi kalau dia menerima pun tentu dia teruji dengan bermenantukan Julaibib yang dianggap orang sebagai lelaki yang tidak laku. ” Rasulullah SAW meminang anak gadis engkau,” katanya kepada isterinya sebaik saja dia sampai ke rumah. “Aku terima dengan hati yang terbuka,” sahut isterinya. ” Tetapi bukan untuk beliau…” ” Jadi untuk siapa?” “Untuk pemuda yang bernama Julaibib.” ” Untuk Julaibib. Aku tidak akan mengahwinkan anakku dengan dia, demi Allah,” jawab isterinya dengan tegas sekali. Mendengar itu, dengan segera dia kembali menemui Rasulullah SAW dan menyampaikan penolakan isterinya. Tiba-tiba terjadi sesuatu yang tidak terduga sama sekali.

Rupa-rupanya anak gadisnya sendiri telah mendengar perundingan kedua orang tuanya. Dia kesal kerana kedua ibu bapanya menolak pinangan Julaibib yang bererti menolak ketentuan Rasulullah SAW. “Apakah ibu dan ayah akan menolak keputusan Rasulullah SAW?” Anak gadis itu bertanya kepada kedua ibu bapanya. ” Beritahukan kepada Rasulullah SAW aku menerimanya kerana baginda tidak akan membiarkan aku tersia-sia.”

Demikian yakinnya gadis itu kepada keputusan Rasulullah SAW.  Mendengar ketegasan anaknya, sahabat itu pun segera kembali bertemu Rasulullah. ” Permintaan tuan diterima,” katanya kepada Rasulullah. Maka Rasulullah pun segera mengahwinkan Julaibib dengan anak perempuannya itu. ” Ya Allah, limpahkanlah keberkatan ke atas anak gadis ini dengan sepenuhnya dan janganlah Engkau biarkan hidupnya dalam keadaan susah payah,” Doa Rasulullah SAW untuk pasangan pengantin baru itu.

Peristiwa ini sangat besar ertinya sampaikan ahli sejarah tidak menyebut-nyebut nama gadis ini dan orang tuanya, disebabkan ketinggian iman gadis itu menyambut ketentuan Allah dan Rasul-Nya lebih dari kepentingan diri mereka. Julaibib sebenarnya seorang pahlawan ulung walaupun agak hodoh rupanya. Dia akhirnya syahid ketika menyertai peperangan bersama Rasulullah SAW. Baginda sendiri yang menguburkan jenazahnya. Isterinya setelah itu menjadi balu terhormat sepeninggalannya. Kedua pasangan suami isteri ini mendapat penghargaan dari Rasulullah SAW. Julaibib kerana beraninya manakala isterinya kerana nilai imannya yang tinggi. Begitulah tingginya iman gadis tersebut.

Tatkala dia menerima ketentuan Allah dan Rasul-Nya, pandangannya jauh ke depan. Dia tidak sedikit pun buruk sangka dengan Rasulullah SAW yang menjodohkannya dengan Julaibib yang terkenal tiada rupa. Malahan dia sedar, itulah jodohnya yang sesuai buat dirinya. Dia tahu sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dan kasih sayang Allah lebih dari sayangnya seorang ibu terhadap anaknya. Jadi tentulah Allah tidak saja-saja hendak mempersia-siakan hidupnya dengan menjodohkannya dengan Julaibib. Sudah pasti ada hikmah besar di sebalik perkahwinan itu nanti. Sebab itulah dia redha dengan pilihan Rasulullah SAW untuk dirinya.

Begitulah ketinggian imannya, dia menghargai pilihan Rasulullah yang mana dia yakin tentu Rasulullah tidak akan membuatnya terhina dengan mengahwinkannya dengan Julaibib. Demikianlah yang sepatutnya kita contohi. Bilamana ada orang datang meminang, janganlah dipentingkan sangat tentang rupa dan kedudukannya, tetapi utamakanlah tentang akhlak, ilmu dan agama yang ada pada dirinya. Agar dengan itu bukan sahaja dia dapat memberi kebahagiaan di dunia bahkan suami yang beriman dapat membimbing isteri dan keluarganya untuk mencapai kebahagiaan yang lebih hakiki di Akhirat kelak. Hanya rumah tangga yang ditadbirkan oleh orang-orang yang beriman sahaja yang akan aman damai dan harmoni laksana sebuah syurga yang indah. Itulah yang dikataka syurga yang disegerakan.

Apalah ertinya rupa yang cantik dan kedudukan yang tinggi, tapi rumah tangga porak peranda. Suami curang terhadap isteri, manakala isterinya juga bermain kayu tiga di belakang suami. Apalah yang dibanggakan dengan harta kekayaan yang melimpah ruah tetapi hati tetap tidak senang malah selalu bimbang dan cemas kerana diburu orang ke mana pergi. Memadailah rezeki yang sedikit yang Allah kurniakan tetapi berkat. Memadailah dengan suami yang dijodohkan tiada rupa asalkan suami tersebut dapat memberi kebahagiaan di dunia dan lebih-lebih lagi Akihrat.

Print Friendly
You might also likeclose