nav-left cat-right
cat-right

KISAH SYEIKH SUHAIMI – Bahagian 1

Hati kita jangan dibiarkan lalai, hendaklah sentiasa beristighfar, bertasbih dan berwirid. - SAYYIDI SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDULLAH AS-SUHAIMI

Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi telah dikenali oleh murid-muridnya dengan gelaran Kiyahi Agung, kerana banyak bekas murid-muridnya telah menjadi kiyahi (iaitu guru ugama), dan banyak pula orang-orang yang memang sudah menjadi kiyahi telah belajar lagi padanya, iaitu menjadi murid-muridnya. Tetapi orang orang yang lain daripada murid-muridnya telah memanggilnya “Syeikh Muhammad Suhaimi” atau “Kiyahi Suhaimi” ataupun “Syeikh Suhaimi” sahaja.

NASAB ATAU ASAL-USUL SYEIKH SUHAIMI

Nasab atau asal-usul atau keturunan Syeikh Suhaimi ialah Muhammad bin Abdullah bin ‘Umar bin Abdur-Rahim bin AbdulKarim bin Muhyiddin bin Nuruddin bin Abdur-Razzaq Al-Madani bin Hasan bin ‘Ali bin Ahmad bin Abu Bakr Asy-Syaibani bin Muhammad Asadullah bin Hasan At-Turabi bin ‘AIi bin Muhammad Al-Faqih bin ‘Ali bin Muhammad Sahibul-Marbat bin ‘Ali Khali’ bin ‘Alawi Ats-Tsani bin Muhammad bin ‘Alawi Al-Awwal bin ‘Ubaidullah bin Ahmad Al-Muhajir bin ‘Isa Ar-Rumi bin Muhammad An-Naqib bin ‘Ali Al-‘Aridhi bin Ja’far As-Sadiq bin Muhammad Al-Baqir bin ‘AIi Zainal-‘Abidin bin Saiyidina Husain bin Saiyidina ‘Ali bin Abu Talib, dan sedia ma’lum bahawa ibu Saiyidina Husain itu ialah Saiyidatina Fatimah binti Rasulullah s.a.w.

TEMPAT ZAHIRNYA

Walaupun Syeikh Suhaimi itu telah berketurunan daripada Baginda Rasulullah s.a.w. tetapi ia telah dizahirkan di Negeri Jawa, Indonesia, iaitu di Bandar Sudagaran di daerah Wanasaba (atau Wonosobo) pada tahun 1259 Hijriah. Pada ketika itu, kedua, ibu bapanya berada didalam keadaan yang mewah dan senang, malah bapanya pada masa itu adalah seorang saudagar yang terkenal didalam Wonosobo itu.

Eloklah diingatkan bahawa banyak orang-orang Arab, termasuk mereka yang berketurunan daripada Rasulullah s.a.w., menetap di Negeri Jawa, dan wali-Ullah wali-Ullah yang maqam-maqam mereka banyak terdapat di Negeri Jawa, seperti Wali Songo, berasal daripada Baginda Rasulullah s.a.w. juga. Oleh kerana begitulah nasab Syeikh Suhaimi itu maka anak-cucunya sekalian bersama-sama mengucapkan Alhamdulillah dan Syukur kepada Allah, kerana mereka termasuk didalam golongan keturunan Rasulullah, tetapi tujuan yang sebenar dinyatakan nasab Syeikh Suhaimi itu bukanlah untuk bermegah-megah sebagaimana yang telah dituduh oleh setengah-setengah pehak, bahkan ialah kerana tujuan lain, dan rengkasnya ialah seperti berikut.

Apabila Syeikh Suhaimi kembali daripada Timur Tengah dan telah membuat keputusan hendak menetap di Singapura dan Malaysia, ia pun menyatakan ia ada membawa satu amalan yang dinamakan Aurad Muhammadiah, dan ia menyatakan juga ia boleh mengijazahkan (mengizinkan) orang-orang lain untuk mengamalkannya bagi sesiapa yang sudi, dan ia telah menerangkan faidah-faidah dan kelebihan-kelebihan bagi sesiapa yang mengamalkannya. Alhamdulillah, semakin-banyak orang-orang yang mahu mengambil ijazah bagi Aurad itu dan mengamalkannya. Ada orang menamakan amalan itu sebagai TARIQAT. Berita’amalan ini semakin tersibar, dan nampaknya mulalah juga ada orang-orang yang tidak suka kapadanya, lalu mereka mulalah menyibarkan tuduhan bahawa TARIQAT Muhammadiah itu adalah karut, kerana pengasas sesuatu Tariqat yang benar mestilah seorang yang berketurunan daripada Rasulullah s.a.w., sedangkan Syeikh Suhaimi atau Kiyahi Suhaimi adalah seorang Jawa sahaja, dan dengan sebab itu tidak mungkin ia menjadi pengasas sesuatu Tariqat yang sebenar.

Syeikh Suhaimi telah memberitahu kepada anak-anaknya bahawa ia dan mereka adalah dari keturunan Rasulullah s.a.w. dan ia telah menunjukkan kepada mereka catitan keturunan itu, tetapi keturunan yang dicatitkan oleh Syeikh Suhaimi itu hanya sampai kepada Abu Bakr Asy-Syabani sahaja. Bagaimanapun, ia berkata bahawa Abu Bakr Asy-Syabani itu adalah dari keturunan Rasulullah s.a.w.

Selepas itu, apabila Syeikh Muhammad Fadhlullah (anak yang kedua bagi Syeikh Suhaimi) telah pergi ke Tanah Jawa, ia telah dapat berjumpa dengan orang-orang ‘Arab yang berketurunan daripada Abu Bakr AsySyaibani itu disana, dan ia telah dapat menyelidik didalam majallah yang dinamakan “Arrabithah- yang diterbitkan oleh para Saiyid-Saiyid disana bahawa Abu Bakr Asy-Syaibani itu terbukti betul berketurunan daripada Rasulullah s.a.w. sebagaimana telah tercatit silsilah keturunannya didalam nasab Syeikh Suhaimi dahulu itu.

Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda: “Tiap-tiap anak bagi seorang bapa maka nasabnya adalah kepada bapanya, kecuali anak-anak Fatimah maka sesungguhnya akulah bapa mereka.”

Bagaimanapun perlulah diingatkan sabda Rasulullah s.a.w.lagi: “Bahawasanya semulia-mulia orang diantara kamu, pada sisi Allah, ialah orang yang paling taat dan takut akanNya. Tiada siapa orang ‘Arab melebehi orang yang bukan ‘Arab kecuali jika ia lebih taqwa (iaitu lebih menjunjung perintah Allah dan menjauhkan laranganNya.”

Dan sabdanya lagi: “Syurga itu bagi orang yang takutkan Allah walaupun ia seorang hamba yang berkulit hitam, dan neraka itu bagi orang yang menderhaka kepada Allah walaupun ia itu seorang Saiyid yang berbangsa Quraisy.”

Dan ada pula satu pepatah orang Arab begini. Ertinya : “Kemuliaan itu ialah dengan sebab ilmu dan adab sopan, bukanlah dengan sebab harta dan nasab (iaitu keturunan atau baka).”

Bagaimanapun, ada baiknya juga bagi seorang IsIam yang berbaka atau berketurunan daripada orang-orang yang baik dan soleh. kerana mugamuga perkara itu memberi peransang kepadanya untuk mengerjakan ‘amal’amal s0leh yang banyak serta mencari lain-lain kelebihan.

Bermunajatlah secara langsung dengan Allah di waktu sendirian ketika sunyi (di tempat sunyi) kerana cara itu hijab dengan Allah itu terbuka. Dalam munajat itu mintalah supaya mati dalam di dalam beriman dan Islam dan supaya Allah membantu kita yang lemah ini. - SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDULLAH AS-SUHAIMI

APABILA SUDAH CUKUP UMUR

Apabila Syeikh Suhaimi telah “cukup umur”, ia telah dikahwinkan oleh orang-tuanya dengan Nyaii Qani’ah binti ‘Abdur-Rahim yang tinggal di-Kampung Kali Beber, daerah Garung, Wonosobo. Tiada berapa lama sesudah perkahwinan itu maka Syeikh Suhaimi telah berangkatlah seorang diri untuk meneruskan pelajaran Ugama Islam dan lainlainnya ke Pondok Sulu Tiang didaerah Luwanuh, tetapi ia tidak lama disitu lalu ia telah berpindah pula ke Pondok Termas didalam daerah Pacitan. Dua buah pondok itu memang sudah masyhur banyak murid-muridnya, terutamanya Pondok Termas, kerana boleh dikatakan kebanyakan ulama’ yang besar-besar di Tanah Jawa pada mula-mulanya telah mengaji dan belajar disitu, ialah dengan sebab berkat guru-gurunya dan kiahi-kiahinya, bahkan hingga sekarang masih tetap ramai murid-muridnya.

Setelah belajar beberapa tahun di Pondok Termas itu maka Syeikh Suhaimi telah kembalilah ke Wonosobo, tetapi belum lama di Wonosobo ia telah berangkat pula ke Mekah Al-Mukarramah dengan seorang diri untuk menunaikan fardu Haji dan juga untuk menyambungkan pelajarannya disana.

BERANGKAT KE MEKAH

Telah disebutkan tadi bahawa ayahanda Syeikh Suhaimi itu, iaitu Haji Abdullah, diwaktu itu ialah seorang saudagar yang terbilang di Wonosobo. Maka apakala Haji Abdullah itu melihat bahawa anak-anaknya sekalian sudah cukup umur dan masing-masing boleh membuat pekerjaan sendiri maka Haji Abdullah itu pun berkatalah kepada mereka lebih-kurang begini: “Kamu semua sudah besar-besar dan sudah boleh membuat pekerjaan sendiri. Oleh itu sementara ayahanda masih ada umur dan boleh memberi kamu wang untuk berniaga, eloklah kamu semua mula belajar berniaga.” Lalu ia terus hulurkan wang kepada tiap-tiap seorang anaknya itu sekadar mencukupi untuk tujuan yang tersebut tadi. Hanya Syeikh Suhaimi sahaja tidak mahu berniaga. Ia telah berkata kepada ayahandanya itu begini: “Saya mohon diizinkan berniaga ke-Mekah sahaja.” Jawab ayahandanya: “Negeri Mekah itu tidak ada apa-apa melainkan ianya tempat untuk mengerjakan ibadat sahaja.” Tetapi disebabkan oleh kuat dan bersungguh-sungguh permohonan Syeikh Suhaimi kepada ayahandanya itu maka cita-citanya tadi telah diperkenankan oleh ayahandanya.

Sebelum Syeikh Suhaimi berangkat belayar ke Mekah Al-Mukarramah maka Haji Abdullah telah bermimpi bahawa dirinya ada mempunyai banyak layang-layang, tetapi layang-layang tadi tidak ada yang boleh naik ke udara kecuali satu sahaja yang boleh naik. Dengan mimpi itu ayahandanya terus faham bahawa layang-layang yang satu itu ialah memberi alamat bahawa anaknya Muhammad (iaitu Syeikh Suhaimi) itulah yang akan naik namanya dan masyhur serta tinggi sebutannya pada orang ramai.

BERTUKAR CARA HIDUP

Ketika Syeikh Suhaimi berada di negeri Mekah Al-Mukarramah itu, ia telah kelihatanlah oleh kawan-kawan bahawa kelakuannya dan bawaan hidupnya samalah seperti seorang anak saudagar, bukan seperti seorang pelajar atau penuntut biasa kerana pakaiannya ranggi setiap hari sama-ada tentang jubahnya atau serbannya atau lain-lain lagi. Memang begitulah disitu keadaan para penuntut-penuntut yang mengaji ilmu Syari’at diantara anak-anak saudagar dan orang-orang yang mempunyai banyak harta.

Tetapi Syeikh Suhaimi itu tidak berkelakuan seperti itu selama-lamanya, kerana kemudiannya cara kehidupannya itu telah berubah seperti kehidupan seorang darwisy, iaitu seorang yang tidak sempurna pakaiannya dan sedikit makannya sehingga sepikul beras cukup atau tidak habis dimakan selama setahun oleh dirinya dan isterinya, kerana kemudiannya isterinya itu telah datang ke Mekah untuk tinggal bersamanya, dan isterinya itu juga telah mengikut jejak langkahnya mengurangkan makan dan menahan lapar. Maka daripada ketika inilah Syeikh Suhaimi telah mula mencari dan belajar ilmu Hakikat dan ilmu Tasawuf.

ISTERINYA MENYERTAINYA DI MEKAH

Setelah lebih-kurang enam tahun Syeikh Suhaimi bermukim atau menahun di negeri Mekah Al-Mukarramah maka iapun telah diikut oleh isterinya Nyaii Qani’ah binti Kiahi ‘Abdur-Rahim itu, dan Nyaii Qani’ah telah terus bersama-sama menahun di Mekah dengan suaminya itu. Adapun sebab-sebab isteri Syeikh Suhaimi belayar ke Mekah mendapatkan suaminya itu ialah kerana semenjak ia ditinggalkan oleh Syeikh Suhaimi untuk menahun di Mekah itu maka ingatan isterinya itu tidak lufut terhadap suaminya. Hatinya rindu kepada suaminya, malah rindunya semakin bertambah untuk bertemu, sehingga menjadi bingung fikirannya dan hilang ketenteraman jiwanya, lalu ia telah pergi tidur pada satu malam dikubur “Kang Embah” (iaitu gelaran bagi seorang yang sangat alim) di tanah perkuhuran “Karang Sari” yang terletak didalam Kampung Kali Beber itu.

Maka didalam tidur itu ia telah mendapat mimpi bahawa dirinya itu telah dibawa naik ke-udara oleh suatu makhluk yang tidak terang rupanya dan sifatnya. Setelah pagi maka iapun segeralah pergi menceritakan mimpinya itu kepada salah seorang bapa saudaranya, lalu telah dijawab oleh bapa saudaranya itu: “Kalau benar diri mu telah bermfmpi begitu, insyaAllah. engkau tidak lama lagi akan menziarah dan mendapatkan suami mu di-negeri Mekah Al-Mukarramah itu.” Telah dijawab oleh Nyaii Qani’ah begini: “Bagaimana saya boleh mendapatkan dia di Mekah padahal saya seorang perempuan yang lemah, tidak ada daya upaya.” Lalu dijawab lagi oleh bapa saudaranya itu, “Perkara yang seperti itu tidak mustahil kalau Allah Ta’ala menghendakinya.”

MIMPI ITU TERLAKSANA

Ta’bir mimpi yang telah tersebut itu telah benar terlaksana kerana Nyaii Qani’ah tidak lama kemudian telah dapat belayar ke Mekah AI-Musyarrafah dan telah dapat berada bersama suaminya dengan selamat, serta telah dapat pula mengikut menahun di Mekah bersama-samanya sehingga mereka berdua pulang bersama-sama ke Jawa dan kemudian berpindah ke Singapura hingga isterinya itu wafat di Singapura pada malam Juma’at 3 Zulhijjah tahun 1313, dan telah dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Wakaf di Grange Road, berhampiran dengan Orchard Road. (Tetapi sekarang magam itu telah dipindahkan ke Pusara Aman, Jurong).

ILMU-ILMUNYA DAN GURU-GURUNYA

Adapun Syeikh Suhaimi ketika bermukim dan menahun di Mekah Al-Mukarramah itu setiap hari tidak ketinggalan mengaji dan belajar berbagai-bagai ilmu pengetahuan untuk meneruskan atau menyambungkan pengajiannya yang telah lalu, seperti ilmu-ilmu Nahu, Saraf, Fikih, Tafsir Al-Quran, Hadits, Tauhid, Usul Fikih, Falak, Sejarah IsIam, dan lainlain ilmu lagi.

Adapun setengah daripada guru-gurunya dan masyaikh-masyaikhnya waktu ia berada di Mekah Al-Mukarramah itu ialah: Maulana Saiyid Ahmad Dahlan (Mufti Mekah), Maulana Saiyid Bakri Syatta, Maulana Syeikh Nawawi Bantan, Maulana Saiyid Abdullah Zawawi, dan lain-lain masyaikh lagi dari bangsa Mekah, Mesir dan Jawa.

Sanya, setelah Allah Ta’ala mengurniakan fahaman kepada Syeikh Suhaimi terhadap ilmu-ilmu Syari’at dan ilmu-ilmu lain sebagaimana yang telah tersebut itu maka Syeikh Suhaimi telah berasa pula ingin hendak menuntut ilmu Tasauwuf dan ilmu Hakikat serta ilmu-ilmu yang mensucikan hati (atau roh) dan ilmu-ilmu yang menyatakan berkenaan adab dan kelakuan para Wali-wali Allah dan orang-orang yang soleh.

Tetapi ilmu-ilmu yang seperti itu tidak mudah tercapai dan tidak lekas mendatangkan hasilnya melainkan hendaklah juga disertakan dengan menjauhkan diri daripada tarikan dunia, banyak berpuasa dan mengurangkan makan, banyak berjaga dan beribadat selepas tengah malam, dan juga banyak menziarah kubur para Wali-wali Allah dan orang-orang soleh, dan lebihlebih lagi kubur Rasul-rasul dan Nabi-nabi (‘alaihimus-salatu-wassalam) serta mendapatkan guru yang layak.

Syeikh Suhaimi telah mulalah meninggalkan pakaian-pakaian yang lawa atau ranggi kerana pakaian-pakaian yang seperti itu boleh mendatangkan perasaan ‘ujub, ria’ dari takabbur. Dan begitu juga tentang makanminumnya itu telah dikurangkan olehnya sedikit demi sedikit hingga beras sebanyak sepikul itu cukup dimakan oleh dirinya dan isterinya selama setahun sebagaimana telah dikatakan dahulu itu.

Dan begitu juga tentang percampurannya dengan kawan-kawan dan sahabat-sahabat telah dikurangkan. Ini bukanlah bererti bahawa ia ada menaruh jahat sangka kepada kawan-kawannya itu, tetapi hanya dengan mengurangkan percampuran itu ia berasa dirinya lebih selamat dan hatinya lebih tenteram, dan juga ia takut kalau-kalau dirinya terkotor dengan perangai atau tabi’at yang tidak baik, kerana perangai baik atau jahat bagi seseorang itu kerap datang daripada kawan dan campuran.

Sentiasalah ingat akan mati kerana orang yang ingat mati dekat dengan Allah. - SAYYIDI SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDULLAH AS-SUHAIMI

MENZIARAH MAKAM

Apakala Syeikh Suhaimi sudah berasa hatinya lapang dan tenteram memasuki cara kehidupan yang baharu itu, tegasnya menjalankan cara kehidupan ahli-ahli Hakikat maka hatinya mulalah suka hendak mengembara dan menjelajah untuk menziarah makam para Rasul-rasul, Nabinabi, Wali-wali, dan orang-orang yang soleh di negeri Syam, Mesir, Baghdad, Baitul-Maqdis dan lain-lain tempat lagi pada tiap-tiap tahun selepas mengerjakan ‘ibadat Haji.

Setengah daripada makam-makam atau kubur-kubur yang telah diziarah oleh Syeikh Suhaimi itu ialah makam Nabi Ibrahim, Nabi Ya’kub, Nabi Musa, Nabi Yusuf, Nabi Lut, Nabi Soleh, dan lain-lain Nabi lagi. Dan makam sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. juga telah diziarah olehnya termasuk makam-makam mereka yang di negeri Syam, dan makam Sahabat Abu Aiyub AI-Ansari di Kota Istanbul, dan lain-lain lagi. Dan ia juga telah menziarah makam Sidi Abdul Qadir Jailani, Sidi Yazid Bustami, Sidi Qasim Junaid Al-Baghdadi, Imam Abu Hanifah, dan lain-lainnya. Dan juga diBaghdad ia telah menziarah banyak makam-makam Ahlil-Bait (iaitu makam-makam keluarga Rasulullah s.a.w.).

Dan di Syam ia telah menziarah makam Imam Al-Ghazzali, dan diMesir pula ia telah menziarah makam Imam Asy-Syafi’i dan makam Syeikh Abul- Hasan Asy- Syazali dan makam Saiyidina Husain dan lain-lainnya dari keluarga Rasulullah s.a.w. dan makam Wali-wali dan orang-orang soleh yang ada di-negeri Mesir itu.

Adapun ziarahnya ke-makam Rasulullah s.a.w. dan para sahabatsahabat di Madinah Al-Munauwarah itu maka boleh dikatakan ia telah melakukannya setiap tahun.

IKHTIARNYA UNTUK KESELAMATAN

Adapun kelakuan dan keadaan Syeikh Suhaimi didalam masa ia mengembara itu ialah memakai pakaian cara orang-orang Darwisy atau cara Badwi (iaitu orang Arab desa). Dan pula wang yang dibawa olehnya untuk bekalan itu ditaruhkan didalam kasutnya yang sudah lama dan buruk, dan kemudian dilapiskan dengan kulit lalu dijahit. Maka sebabnya dibuat begitu ialah supaya wang itu terpelihara daripada kena samun atau kena curi oleh penyamun-penyamun atau pencuri-pencuri yang memang banyak ada ditempat-tempat yang sepi disana. Dengan ikhtiar yang secara ini, Alhamdulillah, Syeikh Suhaimi telah dikumiakan keselamatan: hartanya tidak pernah kena rompak atau kena curi.

Kelakuannya yang sedemikian itu menunjukkan elok tadbirnya dan cukup ikhtiarnya yang memang disuruh oleh ajaran Syari’at IsIam, dan sayugia dijadikan tauladan oleh kita sekalian.

Kemudian, apabila Syeikh Suahimi tiba disesuatu tempat atau bandar, dan disitu ia perlu menggunakan wang maka ia asingkan dirinya daripada orang lain lalu ditetasnya jahitan kasut tadi, dan setelah itu dibetulkan dan dijahitnya semula kasut itu. Jika ia masuk kedalam sesebuah mesjid atau makam maka ia letakkan sahaja kasut tadi ditempat yang biasa tetapi terasing sedikit, ialah supaya tiada orang boleh menyangka bahawa kasutnya itu luarbiasa.

Bersambung ke Bahagian 2

Print Friendly
You might also likeclose