SIAPA ABUYA SYEIKH IMAM ASHAARI AT TAMIMI?

Orang yang kagum dengan dirinya sendiri bukan saja dia tak kenal Tuhan bahkan dirinya sendiri pun dia belum kenal lagi – ABUYA ASHAARI MUHAMMAD

Kemunculannya tepat di waktu dunia yang kian nazak dimamah derita zaman fitnah. Saat segala-galanya telah hancur musnah. Iman, persaudaraan dan seluruh cara hidup menjadi taring-taring tajam yang menggigit lalu membunuh. Semuanya dalam kacau-bilau. Gawat. Lantas dia pun muncul membawa bersamanya sinar dan harapan. Membawa hikmah dan penyelesaian. Membawa obor yang akan membakar segala durjana, menerangi kembali kehidupan yang lesu ini.

Dialah Imam, pemimpin Islam yang diakui di Timur dan Khurasan. Dialah Syeikh, guru lautan ilmu, yang mindanya dikagumi di Timur Tengah. Dialah Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi, pembela yang pengasih, penyayang dan cinta kepada anak-anak buahnya. Dan sesungguhnya dialah pemimpin, guru, sahabat dan ayah. Justeru itu lalu dipanggil dia dengan gelaran Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi.

Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi dilahirkan pada tanggal 30 Oktober 1937. Kelahiran yang terlebih dahulu sudah ada tanda dan isyaratnya. Seorang waliullah besar bernama Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi pengasas tarekat Muhammadiah berpesan dalam wasiatnya: “Sepeninggalanku nanti, kamu semua akan jadi seperti anak ayam kehilangan ibu sehinggalah muncul seorang bernama Ashaari yang akan menguatkan kembali tareqat Muhammadiah ini.”

Sesungguhnya kelahiran itu terlalu unik. Segala-galanya bagai sudah diatur dan dicatur. Tempat, waktu serta orang-orangnya, telah diprogramkan sejak awal. Oh! betapa indahnya perancangan itu. Maha suci Allah yang mentaqdirkan satu kelahiran yang dinantikan.

Lihatlah bagaimana Syeikh Suhaimi telah mengarahkan khadamnya, Lebai Ibrahim, supaya berpindah ke Kampung Pilin bersama adik beradiknya. Sebelum itu beliau juga mengutus seorang Khalifah kesayangnnya, Kiyai Syahid, berhijrah ke kampung yang sama. Pilin menjadi pilihan. Di situlah nanti bakal lahirnya seorang anak bertuah.

Demi ketaatan dan menunaikan amanah guru, tanpa ocehan dan keluhan, menghunilah Kiyai Syahid di daerah asing itu. Daerah yang didiami sepi dan sunyi. Namun itulah kedamaian. Barangkali terkesan sesuatu yang aneh, gerangan mengapakah diutus seorang ulama yang warak dan berakhlak tinggi seperti Kiyai Syahid ke kawasan yang tidak mempunyai apa-apa itu? Jika diamati dengan nilaian lahir, tiada yang istimewa selain hening dan sunyi. Lalu mau dialurkan ke manakah bakat kepemimpinan Kiyai Syahid? Syaksiah seorang Kiyai, tidak sia-siakah jika hanya dimanfaatkan oleh umat desa terpencil itu saja?

Tetapi teka teki itu tidak pernah pun terselit di celah benak Kiyai Syahid sebenarnya, walau sekelumit cuma. Begitu juga dengan Lebai Ibrahim yang menyusul langkah Kiyai Syahid. Pada mereka, yang utama ialah dengar dan taat sahaja. Demi mempertahankan ikatan cinta dengan guru, mereka rela menggadai nasib mempertaruhkan segalanya di desa terpinggir itu. Pilin. Itulah cinta, dan begitulah bahayanya cinta. Ia tidak akan mengatakan tidak kepada yang dicintainya.
Keanehan yang tercipta hasil ukuran yang dibuat melalui pandangan lahir terjawab juga kemudiannya. Demikianlah guru, dalam tindakan yang satu, berbuah hikmah yang beribu. Di sebalik yang tersurat tercatat maksud yang lebih tersirat. Begitulah jua dengan Kiyai Syahid, dikirim ke Pilin untuk suatu persediaan. Beliau merintis laluan dan membuat tapak, untuk diduduki oleh halakah Aurad Muhammadiah. Dan Pilin pun menjadi semakin meriah dalam limpahan barakah. Barakah yang akan menaungi detik bersejarah tanggal 30 Oktober 1937. Salah seorang di antara adinda Lebai Ibrahim bernama Maimunah, dialah ibu bertuah yang melahirkan seorang anak bertuah, Ashaari Muhammad.

Nasabnya dari zuriat yang mulia. Ninda di sebelah ayah bernama Idris berketurunan Arab – Bani Tamim bercampur Jawa. Beliau menetap di Wonosobo. Almarhum Idris adalah seorang yang soleh. Namanya sentiasa meniti di bibir mulut warga Wonosobo, hingga ke hari ini. Nama yang harum, seharum bakti dan peribadi pemiliknya. Almarhum Idris, bagai sudah dikhabarkan mengenai seorang putera yang bakal lahir, kelahiran yang susur galurnya ada berkait dengan dirinya juga. Lantaran itu beliau berpesan kepada anak lelakinya Muhammad :

“Jika kau hendak berkawin nanti pilihlah dari belahan Syeikh Suhaimi, Kamu akan selamat dunia dan akhirat.”

Muhammad menginjak ke alam dewasa menjadi pemuda warak dan berani. Sangat cintakan ilmu. Pantang didengarnya ada orang ‘alim, pasti dia akan ke sana untuk berguru. Apa jua rintangan yang menghalang tidak dipeduli, biarpun terpaksa meradung belantara atau bersepeda beberapa kilometer. Digagahinya jua demi menuntut ilmu. Akhirnya bertemu dan bergurulah Muhammad dengan Kiyai Syahid di Kampung Pilin. Memang ke mana lagi perginya sirih kalau tidak pulang ke gagang.

Putaran roda waktu tak pernah henti atau terlambat dan putaran itu telah membawa Muhammad dan gurunya ke titik hubungan yang semakin mesra, terlalu mesra. Hingga mekarlah kelopak kasih menjadi sekuntum cinta yang semerbak harum. Kuntuman cinta yang menyerikan jambangan ukhuwah antara mereka.

Tiba masa Muhammad inginkan seorang teman hidup, pada gurunya dia menyerah. Maka Kiyai Syahid pun memilih Maimunah, adinda Lebai Ibrahim, yang ketika itu sudah bergelar balu (janda). Muhammad seorang anak muda yang ada rupa, di samping seorang pegawai kastam (bea cukai). Ada juga anak dara yang menyimpan hati dengannya. Tetapi dia tidak begitu memperdulikan hal tersebut. Pilihan gurunya adalah yang tepat dan terbaik. Muhammad ikut pilihan itu. Apalagi bila ia teringat kembali pesan almarhum ayahanda. Tepatlah, bukankah Maimunah itu anak angkat dan sepupu kepada Sayidi Syeikh? Kalau begitu, Maimunahlah belahan Syeikh Suhaimi yang dimaksudkan oleh ayahandanya dahulu!

Taat membawa berkat. Berbahagialah rumah tangga Muhammad dan Maimunah dalam restu dua ulama sufi – Kiyai Syahid dan Lebai Ibrahim. Lahirlah dari mereka zuriat demi zuriat. Ketika Maimunah sarat mengandung anak keduanya, Muhammad telah bermimpi. Beliau didahului oleh anaknya dalam perenangan menuju ke sebuah pulau. Anaknya sampai tetapi beliau tidak. Bila mimpi itu dirujuk kepada gurunya, Kiyai Syahid pun berkata. ” Anak engkau ini lebih dari engkau, berilah nama Ashaari.”

Dan saat itu jualah Kiyai Syahid membuka rahasia. Rahsia yang sekian lama disimpan di dasar hatinya bahwa beliau diutuskan oleh Syeikh Suhaimi ke Pilin hanya untuk menanti seorang yang bernama Muhammad. Dari sulbi Muhammad itu akan keluar benih seorang putera, namakanlah dia Ashaari!

Sejak kecil pendidikan agama anak lelaki yang bernama Ashaari dititik beratkan. Seolah-olah dia akan ditatang bagai minyak yang penuh. Tetapi tidak begitu rupanya. Takdir mengatasi tadbir. Dan berlakulah berbagai-bagai peristiwa pahit-pahit belaka. Menyebabkan kasih sayang anak kecil itu berpindah-pindah. Beralih dari tangan ke tangan.

Sewaktu usianya mencapai 5 tahun, ibundanya meninggal dunia. Tanggung jawab mendidik berpindah ke tangan pamannya, Lebai Ibrahim. Di situ dia dididik oleh seorang ahli zikir. Lebai Ibrahim, seorang wakil Aurad Muhammadiah. Zikrullah, tahlil dan maulid menjadi basahan lidah. Istiqamah membaca tahlil setiap kali sebelum tidur. Hingga kadang kala kelihatan seperti sudah tidur tetapi mulutnya masih terkumat kamit membaca tahlil. Sampai kini, orang-orang tua Kampung Pilin masih bercerita tentang kewarakan dan kealiman Lebai Ibrahim.

Hari-hari yang mendatang dilalui dengan tabah sebagai seorang anak yang sudah tidak punya ibu tempat bermanja. Sewaktu-waktu ketika beliau sedang bersama kawan-kawan sepermainannya, ada orang bertanya, ” Anak siapa itu?” “Itulah anak almarhumah Maimunah.” Sejenak dadanya sedih. Dia tunduk, mencoba mengawal perasaannya. Tapi emosi kanak-kanaknya tidak dapat disembunyikan. Lalu berlinanglah air matanya. Dibawa dirinya, bersendiri di sawah padi, bersama kerbau-kerbau sawah. Di pinggiran sungai, menghitung anak-anak ikan… Begitulah didikan Allah.

Tahun 1941 membawa kepada 1943, Abuya kehilangan empat orang yang sangat dikasihinya. Ibundanya Maimunah, kekandanya Rahmah, Adindanya Asiah dan Kiyai Syahid. Kemudian, semasa usianya 12 tahun, meninggal pula pamannya, Lebai Ibrahim. Kematian yang bertimpa-timpa. Dia kemudiannya dipelihara pula oleh ibu tirinya, Zubaidah. Sejak itulah Abuya hidup berdikari. Menjahit baju sendiri, memasak, menampal sepatu dan menangguk ikan di kolam.

Tahun 1951, ketika berumur 14 tahun, Abuya terpaksa meninggalkan Kampung Pilin, daerah yang banyak mengajarnya mengenal arti kehidupan. Di daerah itulah terciptanya seribu satu peristiwa dan kenangan yang mewarnai hidupnya. Abuya meninggalkan Pilin, meninggalkan segala cerita suka dukanya di Pilin menuju Segambut. Tinggal bersama nenek tirinya. Inilah jalan seribu liku, berbumbu susah. Namun di jalan inilah jiwa Abuya dikuatkan. Kental, lasak dan tabah menghadapi ujian hidup, persediaan untuk memikul beban perjuangan yang lebih berat dan mencabar.

Di alam kanak-kanak, banyak yang luar biasa berlaku pada dirinya. Tingkah dan fikrah tidak sepadan dengan kadar berfikir anak-anak sebayanya, tanpa siapa pun mengajarnya. Dia melonjak-lonjak untuk belajar di sekolah Arab. Tanpa didorong sesiapa, beliau sendiri pergi mengaji Al Quran.

Kepintarannya nampak sejak kanak-kanak. Khatam Quran dalam waktu yang tidak sampai dua tahun. Kemudian dia sudah berkemampuan mengajar kawan-kawannya. Bakat kepemimpinannya sangat menonjol, dia menjadi pemimpin kecil kepada rakan-rakan sepermainannya.

Tempat Kelahirannya

Segala-galanya bermula di Kampung Pilin, Negeri Sembilan. Nama yang penuh simbolik kerana Pilin bererti putar atau pulas. Apa yang diputar? Apa yang dipulas? Tapi ternyata kini, putera Pilin ini telah memutar dan memulas pemikiran orang ramai. Memerangi ideologi dan isme ciptaan manusia. Untuk kembali kepada Islam yang murni.

Pilin, bumi barakah. Tersisih tapi terpilih. Tersisih kerana jauh dari arus kemodenan. Terpilih kerana selamat daripada mungkar dan makar. Tidak diracuni hidup masyarakat atas nama kemodenan dan kemajuan. Ketika itu masyarakat Pilin bersatu padu, berkasih sayang dan berkerja sama. Dan dalam suasana itulah Abuya terdidik. Di situ dahulu, setiap anak dianggap anak bersama. Boleh ditegur dan dipukul oleh sesiapa sahaja.

Kalau tiba musim, buah-buahan akan dinikmati bersama. Kalau ada yang menangkap ikan, akan dibagi-bagikan kepada jiran-jiran. Kalau tiba musim kenduri, maka datanglah handai taulan membawa barang keperluan. Beras, gula, tepung serba sedikit. Begitulah hidup sungguh muafakat. Segala-galanya mengundang berkat. Dalam suasana itulah, Abuya terdidik. Kampung Pilin adalah Universiti Kehidupan buat Abuya.

Remajanya penuh didikan. Ditarbiah dengan cara yang istimewa. Telah diijazahkan Aurad Muhammadiah di usia 12 tahun oleh bapa saudaranya, Lebai Ibrahim. Pada umur 17 tahun, terbit perasaan bencinya kepada wanita. Dalam situasi begitu, Abuya mengambil sikap menjauhkan diri dari bangsa hawa itu. Pemalunya bukan kepalang, sekalipun kepada saudara-saudara wanitanya yang terdekat. Suatu malam, di bulan Ramadhan, ketika Abuya tidur di surau tiba-tiba kelihatan satu jalur cahaya sebesar tiang tertuju tepat di hadapannya. Itulah di antara peristiwa, daripada sekian banyak peristiwa, sebagai bukti bahawa Abuya sudah diawasi sejak dulu lagi.

Pendidikan

Tiba masanya untuk disekolahkan, Abuya pun dikirim ke sekolah Melayu. Hatinya menderita, kerana dia terlalu ingin untuk ke sekolah Arab. Tetapi perintah ayahanda pantang dibantah. Setia warisan tetap berkekalan. Maka diteruskannya juga belajar di Sekolah Melayu hingga ke darjah tujuh.

Setelah tujuh tahun dalam penantian, memendam cita yang tak kunjung suram, akhirnya Allah tunaikan juga hasrat Abuya untuk ke sekolah Arab. Dia berpeluang melanjutkan pelajarannya ke Maahad Hisyamuddin. Di situ terserlah sifat yang diwarisi dari ayahandanya. Kecintaannya kepada ilmu sangan mendalam. Kecintaan itulah yang menemukannya dengan guru-gurunya, ulama-ulama ul Amilin. Di sana beliau berguru dengan Syeikh Mahmud Bukhari, ulama kelahiran Bukhara yang hafaz 10,000 hadis. Berguru kepada almarhum Syeikh Khalik, almarhum Haji Abdul Hakim Al Azhari dan Al Fadhil Ustaz Dahlan Abdul Manaf.

Guru-guru itulah ayahnya. Cintanya kepada mereka hingga kini masih menyala. Kalau Abuya menceritakan tentang guru-gurunya akan terpesonalah para pendengar. Ceritanya hidup dan segar. Akan terus subur dalam ingatan. Tersimpan kemas dalam kamar hati, yang budi dan jasanya dibawa mati.

Perjuangannya

Hidup Abuya hidup berjuang. Itulah cita-cita dan hiburannya sejak lama. Di bangku sekolah lagi semangat perjuangan Abuya meluap-luap. Dalam usia 21 tahun dia menyertai PAS. Ingin ditegakkannya Islam di atas gelanggang parti. Namun setelah 10 tahun bergelanggang dalam PAS ternyata Abuya kecewa. Di situ lebih banyak slogan dari tindakan. Banyak cakap dari sikap. Sistem hidup Islam tidak ditegakkan. Sekalipun pada diri, apalagi pada jemaah.

Abuya semakin yakin bahawa politik Barat bukan caranya untuk memperjuangkan Islam. Lalu berpindahlah dia dari satu jemaah ke satu jemaah. Ingin ditanamnya bibit Islam yang telah lama dalam genggamannya. Namun Abuya kecewa lagi. Niatnya tak sampai. Hasratnya belum tertunai.
Penantian itu, akhirnya sampai juga ke noktah penyudah. Pada tahun 1968, Abuya bersama 10 orang rekannya memasang tekad yang bulat untuk menubuhkan sebuah jemaah pengajian ‘tanpa nama’ di pinggir kota Kuala Lumpur. Peringkat awalnya, digelar orang kumpulan ‘Rumah Putih’, kerana rumah tempat pengajian mereka berwarna putih. Tetapi nama itu tidak ada nilai Islamik. Akhirnya dinamakan Darul Arqam, mengambil barakah Al Arqam Ibnu Al Arqam sahabat yang mewakafkan rumahnya untuk penyebaran Islam di peringkat awal.

Dari rumah kecil itulah Abuya mula meniti titian perjuangan. Selangkah, dua langkah, tiga langkah dan berlangkah-langkah. Tertib dan tersusun. Tidak terdahulu dan tidak pula terkemudian. Ada ujian, menyusul bantuan. Ada sekatan, terbentang jambatan. Kawan jadi lawan. Lawan jadi kawan. Pengikut datang dan pergi. Namun bahtera perjuangan terus berlayar menungkah gelombang, menuju destinasi. Keyakinan Abuya sangat kental hingga katanya: “Kalau takdirnya ana tinggal seorang nescaya akan kayuh juga kapal perjuangan ini ke matlamatnya.”

Bibit perjuangan Darul Arqam semaian Abuya tumbuh, terus tumbuh dan tumbuh dengan subur sekali. Melewati zaman bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa. Berlalulah tahap demi tahap perjuangannya dengan teratur. Laju dan lancar. Asasnya Iman dan Ukhuwah. Platformnya dakwah dan tarbiah. Hiasannya akhlak dan ulfah. Kekuatannya taqwa. Tetapi tidak lupakan quwwah. Zahirnya teknologi tinggi tetapi batinnya tetap tareqat. Caturnya, catur pedagang, tetapi hatinya tetap sufi. Tadbirnya, tadbir khalifah tetapi dirinya tetap abdi.

Diasaskan perjuangannya dengan pembinaan insan. Jiwa, akal dan fizikal ditingkatkan. Mercu insan kamil didakinya. Iman disuburkan. Fikrah Islamiah dipasak. Fizikal dilatih tangkas, cergas. Bingkas menegakkan syariat.

Kemudian dibangunkan pula pembangunan material. Lahirlah peradaban dan kemajuan. Terbinalah Habluminallah dan Hablumminannas. Darul Arqam dibawanya untuk menepati ciri-ciri thoifah Islamiah yang menzahirkan kebenaran bukan sekadar memperkatakannya. Kesyumulan sistem hidup Islam, ekonomi, budaya, pendidikan, pertanian dan lain-lain pun mulai nampak.

Simbolik nama Pilin, kian menterjemahkan maknanya, dihuraikan oleh puteranya sendiri. Mindanya menakluk akal dan hati manusia. Perang fikiran dilancarkan. Pertempuran demi pertempuran disertai lalu meraih menang. Peluru mindanya deras bagai air bah melimpah. Penghalangnya musnah. Lemah-lembut, tetapi tidak mengalah. Tegas tetapi tidak keras. Ofensif tetapi tidak agresif. Inilah perang Minda Putera Pilin.

Pada Abuya teras kekuatan adalah taqwa. Taqwa menggamit datangnya bantuan Allah. Justeru itu, didampingkan sentiasa dirinya dan pengikutnya kepada Allah sedekat-dekatnya. Sehampir-hampirnya. Kekuatan rohaniah, Aurad Muhammadiah dibinanya secara istiqamah. Itulah benteng Abuya, itulah perisai perjuangannya dari serangan musuh lahir dan batinnya.

Peribadinya

Dia adalah pemimpin sejati. Punya karisma semula jadi. Kepemimpinan Abuya ditunjuk oleh hati bukan jari. Padanya tergabung ketiga-tiga kekuatan dalaman insan: jiwa, akal dan perasaan.

Jiwanya kuat, lahirlah sifat-sifat kepimpinan. Dia pencorak, bukan dicorak. Akalnya tajam, dialah pemikir global. Bila berpadu dengan hati yang bersih, terpancarlah ilham. Itulah mindanya yang sudah diluahkan melalui lebih 62 buah bukunya. Masih banyak lagi mindanya yang belum ditulis dalam bentuk buku.

Perasaannya halus, sensitif dengan Tuhannya. Dengan rasa-rasa itulah dia bersajak, bermadah dan bernasyid. Jiwanya kuat tetapi tidak kejam. Adakalanya sentimental tetapi tidak perasaan. Sangat kuat berfikir tetapi ditunjangi syariat. Giat merancang tetapi kuat pergantungan dengan Ilahi.

Keberaniannya sungguh mengagumkan. Seorang diri dicabarnya kemungkaran. Dituduh sesat, dia tidak peduli. Dituduh syirik, dia makin berani. Dianggap penentang, dia makin lantang. Itulah jiwa yang ditempa oleh derita. Itulah hati yang sejak kecil dikeronyok mehnah. Ditegurnya ulama resmi. Dijawabnya sanggahan Perdana Menteri. Ke mana jua dibawanya perjuangan… ke gubuk buruk petani, ke banglo hartawan, ke istana-istana raja.

Peribadi Abuya sangat menyenangkan. Akhlak baiknya ketara. Lemah lembutnya memikat. Sering dia meminta maaf, sering pula memberi maaf. Sebarang keputusannya lebih-lebih yang ada kaitan dengan jemaah pimpinannya dibuat berhati-hati. Setelah menimbang begitu teliti. Sikapnya menjelmakan kata. Katanya membayangkan rasa. Pemurahnya luar biasa.

Raut wajahnya tenang dan berseri. Kata orang yang memandang, wajahnya makin muda. Walaupun usianya sudah lebih enam puluh tahun, tetapi dia kelihatan seperti pemuda. Matanya sedikit merah, di situ selalu tergenang air mata. Kerana cinta dan takutnya kepada Allah.

Seri dan cahayanya ketara sekali. Sebelum didekati, dia digeruni. Kerana wibawanya. Bila bertemu terasa sayang. Kerana kemesraannya. Bila berjauhan berkocak rindu. Kerana kasih sayangnya. Payah membaca susah di wajah, kerana Abuya sering tersenyum lalu tersembunyilah derita, sedih dan bimbangnya.

Ibadahnya sederhana tetapi sangat luar biasa. Dibuatnya penuh rasa kehambaan, hingga berbekas pula pada tindakan. Istiqamah sunat-sunatnya. Tetapi bila berdepan dengan maslahat masyarakat, didahulukan keperluan rakyat. Sangat dijaga roh dan khusuknya. Sudah tradisinya menanti-nanti waktu sholat. Mengintai-ngintai detik pertemuan dengan Tuhan. Wudhuk waktu Subuhnya bertahan hingga Asar.

Pakaiannya kemas dan segak. Serban dan ridaknya berseri-seri. Matanya bercelak sentiasa. Janggut dan misainya rapi. Melangkah gagah, tidak ragu-ragu, tidak teragak-agak. Sesungguhnya dia adalah pemuda. Pemuda yang segar cita-cita. Pemuda yang kuat kemahuan. Pemuda yang berani menempuh gelombang. Pemuda yang tidak letih-letih kerana berjuang.

Dialah Abuya kita, Abuya mereka. Abuya bersama.

Kini Abuya bukan milik Global Ikhwan saja tetapi kepunyaan semua orang di dunia yang mencintai kebenaran. Dia lepas bebas mengembara. Melayarkan bahtera perjuangannya ke merata benua untuk mengaut penumpang dan barangan. Gelanggangnya bukan hanya dari Malaysia, tetapi sudah ke seluruh dunia. Ditelusurinya Jadual Allah, terbinalah empayar Minda dan kepemimpinannya dari Timur ke Khurasan.

Di Timur dialah pemimpin bagi ramai ahli dan berjuta simpati. Di Yunnan, China dia disambut dengan ucapan “Imam…Imam…Imam,” Di Uzbekistan, kepemimpinannya diterima dengan kata-kata, “Imam dari Timur sudah datang, Imam dari Timur sudah datang.” Di Timur Tengah dia dikejutkan oleh seorang cendekiawan, “Islam akan bangkit di Timur bermula dari kamu. Kamulah Syeikh umat ini,” Di Barat, super power yang sudah kehilangan taring itu dikejutkannya dengan buku Barat di Ambang Maut. Di robek-robeknya cara hidup sekularisme. Dihenyak-henyaknya ideologi materialisme.

Hayatilah mindanya. Resapilah rasanya. Fahamilah gelombang cinta dan rindunya pada Tuhan dan pemimpin yang disimpan. Pasti akan terasa bahawa dia sedang menanggung rasa cinta dan ghairah yang amat hebat. Amat dahsyat. Rindunya kepada pemimpin yang disimpan. Baqiyatullah. Rindunya kepada pemimpin yang ditunggu-tunggu, Al Muntazar. Rindunya kepada penghulu segala pembaharu, Sayidul Mujaddidin. Rindunya kepada Imamul Ummah Muhammad Ibni Abdullah – Imamul Mahdi.

Lantas, di kejauhan ini, resapilah doa yang sering dipanjatkannya: “Ya Allah….aku bermohon kepadaMu agar dizahirkan segera kedatangannya dengan pengharapan yang tinggi, lebih tinggi dari Sidratul Muntaha, dengan hati yang rendah lebih rendah dari dasar lautan yang paling dalam.”

Pesannya, amanatnya, ingatannya penyelamat itu pasti datang. Pembela itu pasti muncul. Membawa keamanan, keharmonian, kebahagiaan sejagat. Yang sudah sekian lama dirindukan oleh seluruh semesta, semua manusia.

Abuya sering merintih, “Bila..bila…bila lagi?” Thoifah ini sudah semakin syumul. Buahnya sudah banyak yang masak. Harum, ranum. Lalu dia terus bekerja siang dan malam. Taqwa perlu terus meningkat. Tabur sebanyak-banyaknya makrufat.

Semakin ke hujung dia semakin laju. Sedikit rehat. Seakan tak pernah dijenguk penat. Dia terus mengembara. Bermusafir, XPDC demi XPDC. Buku demi buku. Perancangan demi perancangan. Doa makin panjang. Munajat makin sarat. Langkahnya kian nekad.

Padanya kali ini giliran Timur. Timur yang akan bangkit mengetuai kebangkitan semula Islam di akhir zaman seperti mana yang diisyaratkan. Timurlah yang akan bergabung dengan Khurasan untuk membangunkan semula keagungan Zaman Ummah kali kedua. Pada Abuya, itu sudah muktamad. Pasti akan berlaku kerana sudah dijanjikan.

Dia menagih janji itu. Janji yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW tentang sebuah tapak ummah. Sebuah Daulah Islamiah. Demi menuju ummah. Abuya yakin sungguh janji itu akan terjadi sedikit masa lagi. Sebuah Daulah di sebelah Timur. Sebuah tapak Ummah di sebelah Timur. Dan Malaysia tercinta adalah calonnya. Itulah kerinduan Abuya.

Puluhan expedisi sambil belajar seperti itu telah diadakan. Selain itu abuya juga menyampaikan puluhan tajuk ceramah (ceramah umum dan fardhu ain ) yang telah dirakam dalam bentuk keset dan video dan disebarkan ke seluruh dunia. Lebih 70 tajuk ceramah umum beliau telah dijadikan hafalan wajib bagi pendakwah-pendakwah dan kader-kader perjuangannya. Manakala pengajian secara formal, Abuya mulakan dengan membuka kelas pengajian yang dihadiri oleh beberapa orang pelajar sehinggalah kini terbinalah sistem pendidikan Abuya di seluruh dunia.

Selaku pemimpin Abuya sentiasa menulis dan menganalisa kemelut masyarakat kini dan seterusnya memberi buah fikiran yang bernas sebagai alternatif kepada masyarakat yang rindukan keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih 70 buah buku merangkumi berbagai-bagai bidang seperti falsafah, tasawuf, tarbiyah, tauhid dan isu-isu semasa. Buku-buku itu menterjemahkan apa yang telah beliau buat dan apa yang direncanakan untuk dibuat. Fikrah beliau mengandungi gagasan-gagasan besar yang disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami dan mudah dijadikan amalan dalam menyelesaikan masalah hidup, samada di peringkat diri, keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya alam sejagat.

Sehingga kini Abuya telah menghasilkan 5 buah antologi sajak yang membawa mesej dakwah dan didikan. Ribuan lagi sajak, madah dan puisinya belum diterbitkan. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahwa beliau merupakan penyair di dunia yang paling produktif menghasilkan puisi-puisi berunsur Islam. Banyak sajak beliau yang telah dinasyidkan termasuklah beberapa buah daripadanya digubah sendiri melodinya oleh beliau. Nasyid-nasyid itu didendangkan tanpa iringan musik (kecuali kompang) oleh putera-puteri dana murid-muridnya dan dikeluarkan dalam bentuk keset dan video serta diedarkan ke tengah masyarakat sebagai alternatif kepada lagu-lagu yang mengkhayalkan. Beliau juga telah menerbitkan satu album sulung “Oh Pejuangku” yang mengandungi nasyid-nasyid ciptaan dendangan beliau sendiri.

Tutur katanya manis, tidak suka menyakiti. Cakapnya benar. Bila beliau bercakap, tutur katanya menyenangkan setiap orang yang mendengar dan disertai dengan senyum. Abuya tidak pernah bercakap sesuatu yang menyebabkan orang terasa diajar atau diperbodohkan bahkan beliau sangat memuliakan pandangan orang lain. Sebab itu Abuya selalu berkata, “Silakan…silakanlah.” Abuya mengelak dari menyebut, “Jangan!” Sebab jangan itu tanda atau bererti menegur atau mengajar. Tutur katanya membuat orang tidak terasa atau rasa terhina atau dianggap tidak tahu, Bahasa pertuturannya mudah, tidak bombastik dan tidak banyak menggunakan istilah-istilah yang sulit difahami.

Abuya memaafkan orang yang bersalah. Jika kesalahan seseorang itu akan membahayakan jemaah, barulah dia dihukum. Abuya akan terus menegur, tidak menunggu jarak waktu yang panjang. Jika kesalahan itu agak ringan, mungkin beliau akan buat teguran pada masa yang sesuai.

Apabila Abuya menegur seseorang hingga didapati seseorang itu tersentuh hati, Abuya ada kaedahnya sendiri untuk memulihkan semula hati orang tersebut. Pernah di dalam satu ekspedisi, Abuya telah menjawab soalan seorang peserta ekspedisi yang mana jawapan itu memberi pembelaan kepada pemimpin yang Abuya lantik, bukan kepada peserta ekspedisi itu. Yang mana peserta itu mengharapkan Abuya berpihak kepadanya. Jadi dia rasa termalu dan Abuya tahu keadaan ini, kemudiannya beliau menghubungi peserta itu melalui telefon, bertanyakan khabar sehingga menyebabkan peserta itu terhibur.

Bila melihat orang-orang nakal di tepi-tepi jalan, Abuya biasanya akan jatuh simpati ataupun kasihan dan berkata mendoakannya, “Ya Allah ! Berilah hidayah kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui…” Kalau Abuya membenci, bukannya membenci mereka, tetapi membenci perbuatan maksiat yang mereka buat. Sebab itu Abuya tidak marah pada orang tersebut tetapi kasihan dan terus mengajak dan mendidik mereka. Abuya sentiasa memberikan nasihat walaupun dia sendiri dalam keadaan susah dan payah ketika diuji.
Beliau sentiasa mengingatkan manusia akan syurga dan neraka dan hari pembalasan. Abuya begitu sedih apabila melihat terutama ulama yang tidak memberitahu apa yang diketahuinya dan pemimpin-pemimpin zalim yang menindas.

Tarbiah dan didikan

Abuya sentiasa mendidik atau memberikan guideline kepada manusia baik dalam menegakkan perkara-perkara yang berhubungan dengan fardhu ain atau fardhu kifayah (hablumminallah dan hablumminannas) sampai perkara-perkara yang kecil pun Abuya tetap mentarbiahnya.
Cara tarbiah Abuya umumnya ada dua :

1. Melalui perbuatan (lisanul hal). Abuya buat sesuatu dan mengharapkan orang ikut. Contohnya bila makan, beliau makan hingga piringnya licin, tidak tinggal walaupun sebiji nasi atau setitik kuah dalam pinggannya.

2. Melalui percakapan (lisanul maqal). Misalnya sewaktu tiba di hotel, Abuya buat soalan, “Apakah perlu di tempat kita saja kasut disusun, di sini tidak perlu? Sepatutnya displin itu berada di mana-mana saja.”

3. Abuya bukan sekadar memberi ilmu tetapi terus mendidik supaya orang tahu bagaimana hendak membuatnya.

Abuya mendidik manusia agar belajar dari alam, karena setiap yang ada dan berlaku di sekeliling kita ada manfaatnya untuk diambil pengajaran. Misalnya ketika Abuya berhenti atau melalui tepi pantai, Abuya berkata, “Bayangkan kalau laut itu api neraka. Kalau neraka sebenar bagaimana agaknya?”

Suatu ketika Abuya dan rombongan lalu di sebatang jalan di Indonesia dan melihat seorang lelaki yang mencuba menyelamatkan seekor kucing dari dilanggar kereta dengan menahan kucing itu melintas. Kucing itu mencakar-cakat lelaki itu seolah-olah marah. Beberapa kali lelaki itu cuba menyelamatkannya, tetapi ia terus mencakar-cakar. Lalu Abuya membuka petanyaan kepada ahli rombongan ekspedisi, “Kenapa kucing itu marah?” Abuya sendiri menjawab, “Kerana kucing itu tidak faham orang itu mencuba untuk menyelamatkannya. Begitu jugalah dengan kita sebagai pendakwah. Orang yang tidak faham dengan kerja kita akan marah kerana menyangka kita akan menyusahkan mereka.”

Pada waktu yang lain, Abuya telah menggambarkan kepada anak buahnya akan kehidupan satu keluarga nelayan yang miskin tetapi hidup penuh harmoni dan bahagia. Lalu Abuya bertanya, “Sekadar itu sajakah yang kita nampak?” Kemudian Abuya menyambung lagi, “Kalau di samping miskin, redha pula dengan kemiskinan itu maka berbahagialah mereka di dunia. Manakala di akhirat akan dikurniakan pahala tanpa hisab (bighairi hisab). Tetapi kalau derhaka kepada Allah dan mereka tidak redha dengan kemiskinan itu, maka mereka akan miskin di dunia dan miskin pula di akhirat.”

Pergaulan Abuya luas, meliputi bermacam-macam golongan masyarakat daripada peringkat yang setinggi-tingginya hinggalah serendah-rendah taraf kehidupan manusia seperti petani, buruh, nelayan, guru, siswa-siswi, golongan pentadbir, golongan pemerintah, pegawai negeri, para pedagang dan pengusaha, wakil rakyat, menteri, duta, ulama, syeikh tareqat, kadhi, mufti hinggalah kepada pemimpin negara. Pergaulannya tidak memilih batas atau taraf hidup masyarakat bahkan beliau sendiri senang bergaul dengan golongan kelas bawahan seperti pedagang kecil, petani dan pemandu teksi, malah pernah membuat kenduri untuk mereka. Pernah dibuatnya di Filipina, Thailand, Indonesia dan Malaysia sendiri.

Pergaulannya bukan sekadar berbicara di tepi jalan tapi juga dapat berkenal dengan mereka dengan lebih rapat lagi di majlis-majlis kenduri yang diadakan. Hasil dari itu, timbul kasih sayang mereka terhadap Abuya dan jemaah sehingga merekalah yang menjadi tenaga pembantu untuk menceritakan perjuangan Abuya kepada masyarakat lain. Dan sebahagiannya sanggup menjadi pembela di waktu Abuya dan para pengikutnya difitnah.

Pergaulan Abuya biasanya bermula di warung-warung makan, restoran, kedai kopi dan di lobi-lobi hotel yang akhirnya berpanjangan membawa kepada hubungan yang lebih rapat lagi. Jika Abuya dan rombongannya makan di restoran, biasanya Abuya akan membayar makanan yang dimakan oleh semua orang yang makan di restoran tersebut atau yang membelinya untuk dibawa pulang. Baik orang itu Abuya kenal ataupun yang Abuya tidak kenal. Sebagai tebusan dosa ana, kata Abuya. Pemurah dan tawadhu’-nya Abuya.

Kalau yang ditemui itu terdiri daripada golongan pemimpin, mereka akan menyebarkan berita kepada pengikut-pengikutnya (orang bawahannya). Setelah kenal rapat, sebagiannya mengirim anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Abuya. Bila golongan yang ditemui itu adalah kalangan bisnis, maka selepas itu berlangsung hubungan bisnis antara mereka dengan perusahaan Abuya. Berhadapan dengan golongan profesional, selalunya Abuya menyelesaikan beberapa masalah mereka dan menukar cara berfikir sekular mereka sehingga profesi mereka dapat dimanfaatkan untuk Islam.

Biasanya pertemuan pertama dengan Abuya akan diikuti dengan pertemuan kedua dan ketiga, disertai dengan majlis-majlis dialog. Dengan lain-lain bangsa dan agama juga Abuya bergaul mesra. Bahkan duduk semeja dan makan sedulang dengan mereka. Adakalanya beliau berhibur-hibur dengan mereka. Kadang-kadang ditepuk-tepuknya bahu mereka. Seringkali pada simpati yang bukan Islam, Abuya akan beri mereka hadiah, mungkin berbentuk barang atau duit, dengan harapan dan doa agar mereka memeluk Islam suatu masa nanti.

Pernah sewaktu ayah kepada seorang zimmi jemaah, tuan punya hotel terbesar di Phrae, Utara Thailand, sakit kerana pembedahan di perut, Abuya bersama semua peserta ekspedisi bis eksekutif dua tingkat pergi menziarahinya. Bekas Datuk Bandar ini kemudian berkata, “Saya terhibur dengan kedatangan Abuya sehingga setengah dari sakit saya hilang.” Abuya pernah berkata, “Dalam ajaran Islam, zimmi-zimmi ini dilindungi dan dibantu keperluan mereka. Kalau mereka dizalimi atau diganggu, orang-orang yang mengganggu mereka itu walaupun orang Islam sendiri, akan dihukum. Hingga mereka selamat berada dalam naungan kasih sayang pemerintahan Islam.”

Abuya sangat mengambil berat kebajikan zimmi jemaah. Bila mereka masuk rumah sakit, maka Abuya akan tanggung pembayarannya. Pernah sewaktu menyambut hari raya di Thailand, Abuya diserang demam yang hebat dan selepas agak pulih, mendadak saja Abuya teringatkan beberapa orang zimmi jemaah, lalu meminta supaya dibungkuskan kuih-kuih raya untuk mereka yang bukan Islam, diniatkan supaya mereka masuk Islam.

Sewaktu Abuya mengadakan misi dakwah Love & Care di Filipina, beliau membawa bersama beberapa zimmi jemaah dari Thailand dan Malaysia. Salah seorang daripadanya, pengurus hotel di Chiang Mai, rasa seronok ikut Abuya hingga mahu sambung satu minggu lagi bersama Abuya. Katanya, isterinya yang ikut serta dalam ekspedisi itu sudah berubah, cium tangannya tanda hormat pada suami. Dia sendiri sudah mula mau tahu tentang Islam dan mula ikut sembahyang Zuhur walaupun belum tukar aqidah. Abuya membiarkan dengan berkata, “Kita biarkanlah kerana dia nak sembah Tuhannya.”

Sehari sebelum Abuya ditangkap, Abuya menghadiahkan sebuah hamper sempena hari jadi bekas Datuk Bandar Phrae tersebut. Di waktu yang sama Abuya turut menyumbang bagi pihak dirinya dan jemaah sebanyak 5,000 Baht untuk korban banjir di Phrae yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Pernah satu ketika seorang peserta yang mengikuti ekspedisi bersama Abuya di Thailand, sedang menghadapi masalah yang agak berat. Setiap malam selama beberapa hari ekspedisi itu, beliau merintih dan mengadu kepada Allah, memohon agar Allah ringankan masalahnya. Semasa rombongan ekspedisi berjalan di sebuah kampung, mereka melalui sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain-main. Tiba-tiba Abuya memberi wang kepada peserta tadi dan diminta ia sedekahkannya kepada kanak-kanak yang sedang bermain itu. Di waktu yang lain pula ketika mereka singgah makan di sebuah restoran, Abuya menyebut tentang hikmah bersedekah yang mana melalui sedekah itu Allah permudahkan sampainya hajat kita.

Ibadah Abuya

Abuya sentiasa sembahyang di awal waktu dan beliau berada di tikar sembahyang setengah jam sebelum masuk waktu. Biasanya waktu menjelang solat itu, Abuya peruntukkan bersama anak buah atau tetamu. Memberi ilmu dan mentarbiah. Hampir-hampir tidak pernah Abuya sembahyang seorang diri. Sentiasa berjemaah walaupun di waktu sakit berat.

Abuya istiqamah bersembahyang Tahajjud dan Witir di sepertiga hujung malam. Kemudian istiqamah sembahyang sunat Rawatib dan Dhuha serta sunat Awwabin di antara Magrib dengan waktu Isyak. Abuya akan memendekkan sembahyang sunatnya jika ada program-program resmi atau jika ada tetamu.

Abuya terlalu menjaga waktu berbuka, jangan sampai terbatal. Artinya, betul-betul yakin masuk waktu. Setelah selesai azan maghrib baru Abuya berdoa buka puasa dan berbuka. Abuya melebihkan waktu asalkan jangan termakan sebelum waktu berbuka. Begitu juga bersahur, beliau akan memberhentikan makan lebih awal (sebelum waktu imsak). Sewaktu berbuka, Abuya hanya menjamah sedikit makanan dan terus solat. Selepas solat Terawih barulah beliau makan malam. Abuya selalu mengerjakan Sunat Terawih 20 rakaat. Kadang-kadang sebelum menjamah makanan, Abuya akan mengaji Al Quran dan selalunya mengkhatam Al Quran sebanyak 2 kali sepanjang bulan Ramadhan. Abuya berpuasa enam hari setiap bulan Syawal.

Kesukaan Abuya

Di antara kesukaan Abuya adalah mengadakan kenduri, bersedekah dan beri hadiah. Kalau Abuya tidak dapat bertahajjud malam atau Dhuha di siang hari, beliau akan ganti dengan kenduri. Abuya pernah memberi panduan kepada anak-anak buah, di samping banyak sembahyang hajat dan banyak berdoa, banyakkan bersedekah kerana melalui sedekah itu dipercepatkan makbulnya hajat.

Abuya sangat memperhatikan keadaan orang kecil. Beliau selalu menyediakan makanan kepada pekerja angkut sampah. Jika berbelanja ke pasar senantiasa dia bayarkan orang yang berbelanja di kiri kanan beliau. Tidak sampai hati dia berbelanja untuk diri dan keluarga sendiri.

Abuya menggunakan hidupnya untuk berdakwah ke seluruh dunia. Dahulu Abuya buat sendiri, mengembara ke seluruh dunia, khususnya Thailand, Indonesia, Singapura dan sebagainya. Setelah dalam tahanan ISA tugas itu disambung oleh murid-murid beliau terutamanya dari Indonesia. Walaupun dulu sibuk berdakwah dan sekarang masih dalam tahanan kota pemerintah, tarbiyah dan nasihatnya tetap disalurkan kepada anggota jemaah khususnya dan masyarakat umum.

Dalam berdakwah di seluruh dunia Abuya bertemu dengan banyak tokoh dari berbagai golongan masyarakat : mahasiswa, pedagang, petani, orang politik, kalangan pemerintahan, ulama, cendikiawan dan sebagainya. Biasanya Abuya dijadikan tempat bertanya dan meminta nasihat. Setelah Abuya diletakkan dalam tahanan kota, maka tokoh-tokoh dunialah yang datang berkunjung, meminta nasihat dan panduan dari Abuya. Diantara yang datang adalah menteri, calon presiden yang kemudian jadi presiden, konglomerat, ulama, keluarga presiden, keluarga raja, rektor universiti, doktor, tokoh-tokoh negara, jenderal tentera dan polis, artis dan lain-lain baik yang menganut agama Islam ataupun yang bukan Islam.

Kasih Sayang Abuya kepada bukan Islam

Abuya sangat mengambil berat kebajikan golongan zimmi (orang bukan Islam yang telah menerima cara hidup Islam) dan juga mereka yang baru di Islamkan. Pernah satu ketika Abuya menghadiahkan 600 Baht kepada anak-anak seorang wartawan beragama Buddha. Abuya juga pernah menghadiahkan 5,000 Baht kepada seorang ahli perniagaan wanita yang baru di Islamkan walaupun diketahui wanita itu berpendapatan 100,000 Baht sebulan. Ini dilakukan untuk menggambarkan keindahan hidup di bawah naungan Islam agar golongan tadi rasa terhibur dan dapat merasakan suasana kekeluargaan di dalam Islam.

Abuya mempunyai banyak kawan yang bukan Islam, baik Hindu, Buddha atau Kristian dari berbagai suku bangsa Cina, India, Eropah, Arab dan lain-lain. Mereka sangat menyayangi Abuya. Ketika berhadapan dengan golongan bukan Islam, Abuya tidak sekali-kali meyentuh tentang agama mereka. Sebaliknya Abuya menceritakan keindahan cara hidup Islam dan menunjukkan akhlak Islam serta model kehidupan Islam dalam jemaah. Mereka kemudian dengan sendirinya tertarik kepada Islam yang dapat mereka lihat keindahannya. Hingga cara hidup Islam itu mereka terima walaupun mereka belum sanggup menukar aqidah (mereka akhirnya Islam).

Pernah satu ketika Abuya dan rombongan makan di sebuah restoran di Filipina. Semua pekerja restoran itu beragama Islam walaupun tuan punya restoran beragama Kristian. Seperti biasa selepas makan, Abuya dan yang lain-lain, membersihkan meja, memastikan tiada sebutir nasi yang tinggal, dan menyusun piring, gelas dan mangkuk bekas makan untuk memudahkan pekerja restoran membawanya. Abuya berkata, “Inipun dakwah juga, di samping meringankan kerja orang. Walaupun kita bayar tapi meringankan kerja orang itu juga Allah nilai dengan pahala.” Melihat itu pemilik restoran tersebut berkata, “Tuan dapat buat kerja-kerja besar karena perkara kecil begini pun tuan-tuan perhatikan.”

Di samping itu banyak juga yang terus tertarik untuk memeluk Islam. Sewaktu Abuya mengadakan misi dakwah di Filipina pada awal tahun 1994, 17 orang memeluk Islam di tangan Abuya. Di Thailand, banyak penganut Buddha memeluk Islam selepas bertemu Abuya termasuk pekerja-pekerja hotel tempat Abuya menginap. Seorang pekerja hotel di Manila ketika ditanya apa yang menariknya memeluk Islam, telah menjawab, “Kerana akhlak Abuya berbeza dengan orang Islam lain yang pernah saya kenal.”

Mereka yang telah tertarik kepada cara hidup Islam, Abuya didik terus dan selalu Abuya hubungi. Sekiranya mereka dibawa berekpedisi atau dalam pertemuan tidak rasmi, dalam tarbiahnya Abuya gemar menggunakan tamsilan. Ini merupakan kaedah yang ditunjukkan oleh Al Quran. Mata ditamsilkan seperti lampu dan hati seperti bateri. Seandainya lampu sering digunakan, bateri akan lemah. Begitulah mata, kalau selalu melihat maksiat, hati akan lemah. Abuya mengibaratkan kebenaran itu seperti bunga hidup walaupun cantik tapi cepat layu, manakala kepalsuan ibarat bunga plastik yang bukan saja kelihatan cantik bahkan tahan lama. Begitulah juga dengan usia kebenaran selalunya tidak lama manakala usia kepalsuan selalunya panjang.

Abuya juga mengibaratkan hati seperti raja dalam diri manakala anggota badan seperti rakyat. Baik raja, baiklah rakyat. Artinya, baik hati, baiklah tangan, kaki, mulut dan sebagainya. Tamsilan yang Abuya bawa dekat dengan kehidupan seharian sehingga mudah difahami dan dirasakan. Dengan cara itu, apa yang Abuya sampaikan dapat menyentuh fikiran dan hati, sehingga mendorong orang untuk membuat perubahan. Begitulah diantara kaedah Abuya dalam berdakwah. Abuya tidak pernah menyinggung mana-mana pihak. Caranya yang begitu berhikmah, lemah lembut dan penuh kasih sayang telah membolehkan Islam disampaikan dan ditegakkan di seluruh dunia, dengan tidak merosakkan polisi yang dipegang oleh pihak pemerintahan.

Print Friendly
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

Powered by WordPress | Designed by: game cheats | Thanks to city tours, electronic cigarette and seo service